Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dengan banyak masa telah terbuang, segala pilihan perlu ditimbangkan untuk mempercepatkan penstrukturan air Selangor jika tidak mahu pengguna air domestik, komersil dan industri di Selangor menerima kesan jangka panjang.

Pertubuhan Sayangi Kehidupan (PaSaK) berpendapat sebarang kelewatan terhadap penstrukturan semula air Selangor boleh membawa akibat serius termasuk kekurangan rezab air kritikal akibat fenomena el-nino tambahan lagi dengan kadar pencemaran sumber air yang sukar dikawal.

Disebabkan banyak pihak akan turut terheret dalam kemelut penstrukturan air ini adalah wajar untuk pihak Kerajaan Persekutuan mengenalpasti cara terbaik mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Selangor.

Keputusan Menteri Besar Selangor Azmin Ali untuk tidak meneruskan rundingan penstrukturan semula air Selangor kurang disenangi pengguna-pengguna air di Selangor.

Ramai berpendapat keputusan itu dibuat semata-mata sebagai taktik untuk mengheret kepada "masa rundingan lebih panjang" disebabkan beberap perkara teknikal yang masih belum selesai.

Sebab itu, sekarang adalah masa sesuai untuk meneliti semula sampai ke tahap mana Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) boleh digunakan untuk memuktamadkan kemelut ini.  

Jalan penyelesaian sebenarnya harus dicari segera tambahan lagi dengan aset pembekalan air yang telah lusuh juga perlu diganti jika tidak mahu banyak kejadian paip pecah berlaku pada masa akan datang.

Malah kelengkapan di Loji rawatan air perlu dinaiktaraf jika mahukan kualiti air ditahap terbaik.

Dengan pembinaan Loji Langat 2 yang masih terbengkalai industri pembekalan air Selangor pasti menghadapi masalah besar pada masa akan datang.

Jika perlu, segala maklumat berkaitan perjanjian penstrukturan air Selangor perlu diklasifikasikan semula untuk didedahkan kepada umum supaya tidak berlaku "silat politik" antara mana-mana "pihak berkepentingan" dalam isu pembatalan perjanjian penstrukturan air antara kerajaan Selangor dan Persekutuan.

Bagaimanapun, keputusan itu perlu disemak semula dengan teliti bagi mengelakkan "pihak berkepentingan" menggunakan maklumat tersebut untuk mengheret rundingan ke jangka masa yang lebih panjang.

PaSak berpendapat penklasifikasikan semula kandungan memorandum perstrukturan semula air Selangor itu dilihat hanya sebagai "langkah terakhir" jika tidak ada jalan penyelesaian lain.   

 

PaSak percaya "garis penamat" kepada "perlumbaan" ini adalah bila penstrukturan bekalan air dapat diselesaikan tetapi buat masa sekarang "rundingan" mungkin akan berlanjutan untuk beberapa tahun lagi.


MD REDZUAN BASIRON setiausaha kehormat Pertubuhan Sayangi Kehidupan (PaSaK).

Lihat Komen
ADS