Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Jawapan kabur diberikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob di Dewan Rakyat, pada selasa 24 Mac 2015.

Ia berkaitan masalah nelayan yang menerima kesan terhadap projek pembangunan Tanjong Piai Maritime Industrial Park.

Persoalan pertama adalah, mengapa pembayaran ex-gratia kepada nelayan itu perlu dibuat?

Secara konteksnya, ex gratia ini bermaksud bayaran ganti rugi atau pampasan. Ia dibuat apabila berlaku bencana atau kerosakan. Maka bayaran ex gratia yang dinyatakan oleh menteri ini, jelas menunjukan bahawa suatu bencana atau kerosakan telah berlaku ke atas perairan terbabit.

Yang mana ia membawa kesan hilangnya lebih lima puluh peratus (50%) punca pendapatan bagi sejumlah 1,023 nelayan daripada 14 pangkalan di Johor Bahru dan 19 yang berpangkalan di kawasan Pontian.

Ini bertentangan sekali dengan dakwaan kerajaan negeri dan pemaju baik projek Forest City (Country Garden) dan Tanjong Piai Maritime Industrial Park (Benelac) yang sebelum ini menyatakan bahawa projek-projek tersebut akan memberikan impak ekonomi yang positif kepada rakyat tempatan.

Oleh itu, jika benar ada berlaku kerosakan kekal pada perairan tersebut, kerajaan negeri atau kementerian harus mengisytiharkannya kepada umum, agar tujuan pembayaran ex gratia (pampasan) ini dapat diwajarkan.

Namun, kenyataan menteri ini bertukar lucu apabila beliau menyatakan ex gratia ini sebagai ‘saguhati’ kepada nelayan.

Konsep ex gratia dan saguhati ini sangat mengelirukan sama sekali kerana bayaran ex gratia mempunyai mekanisme dan struktur penilaian yang tertentu berbanding bayaran saguhati yang dibayar mengikut ehsan atau kemampuan kerajaan.

Jadi, mana satukah yang akan dibuat, ex gratia (pampasan) atau saguhati (ehsan)?

Kemudian menteri menyatakan lagi, "bayaran ex gratia kepada nelayan dan penternak adalah berasaskan kepada aktiviti yang mereka lakukan."

Dari jawapan menteri sendiri, purata hasil pendapatan nelayan pantai yang terendah dicatatkan ialah nelayan di kawasan selatan dan Johor Bahru dengan purata sekitar RM1,151 sebulan.

Persoalannya, apakah mekanisme yang berkesan, yang beliau gunakan untuk menentukan ‘aktiviti’ nelayan ini? Dari hasil tangkapan atau asetnya?

Soalan berikutnya, dengan pembayaran ex gratia ini, pihak manakah yang akan membayarnya? Kerajaan negerikah? Kementeriankah? Atau kedua-duanya?

Jika pembayaran ex gratia ini dibuat oleh mana-mana pihak, kerajaan negeri atau kementerian, maka persoalan lain timbul iaitu fungsi program Tabung Pembangunan Nelayan.

Untuk kes Forest City, pada Julai 2014, kerajaan negeri mengumumkan penubuhan tabung tersebut dan menganggarkan kutipan sekitar RM104 juta melalui caj RM0.30 sen bagi setiap sekaki persegi (psf) dari saiz seluas 3,237.48 hektar.

Kemudian, lima bulan selepas itu iaitu pada November 2014, dalam belanjawan negeri Johor yang lalu, sejumlah RM 1.8 juta diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin sebagai insentif kepada 1,800 nelayan iaitu bersamaan dengan RM1,000 untuk satu keluarga (tidak sampai 10% dari anggaran RM 104 juta).

Bagaimana pula dengan pembangunan Tanjong Piai Maritime Industrial Park yang bersaiz 1411 hektar dengan jarak yang kurang 500 meter dari pantai tanjung Piai ini? Adakah ia termasuk dalam pembiayaan Tabung Pembangunan Nelayan tersebut?

Maka, duit pembayaran ex gratia yang dinyatakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, akan diambil dari sumber mana? Dari Tabung Pembangunan nelayan atau apa?

Jawapan dan penjelasan oleh kerajaan negeri dan kementerian setakat ini, terus mendatangkan lebih banyak kekeliruan dan persoalan yang masih tergantung. Ini perlu segera dijelaskan oleh kerajaan negeri dan kementerian.

Lihat Komen
ADS