Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sudah genap setahun peristiwa kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014 yang lalu. Sehingga hari ini, seluruh dunia masih dalam kekeliruan dan kegelapan dalam isu yang menjadi misteri zaman moden.

Pelik sungguh, tiada siapa yang boleh memberi jawapan untuk pelbagai persoalan yang ditimbulkan mengenai kehilangan ini.

Keluarga mangsa masih tidak tenteram kerana kekecewaan terhadap kerajaan yang gagal menjawab isu-isu yang dibangkitkan. Malah, terdapat juga unsur-unsur yang sengaja disembunyikan.

Kerajaan juga gagal menjawab banyak soalan-soalan yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat. Selagi soalan-soalan ini tidak dijawab secara telus dan bertanggungjawab, perkara ini akan menghantui kerajaan BN.

Saya telah bertanya satu soalan lisan berhubuung dengan peristiwa kehilangan MH370 pada 1 April 2015 di Dewan Rakyat. Soalan saya meminta menteri pengangkutan menyatakan sama ada misi mencari pesawat masih diteruskan.

Berapakah jumlah wang dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia dalam misi pencarian itu dan nyatakan secara terperinci bagaimana perbelanjaan tersebut diagih dan disalurkan.

Dalam jawapan bertulis yang diberikan oleh menteri pPengangkutan, operasi pencarian MH370 akan diteruskan oleh kerajaan.

Sebarang keputusan untuk memberhentikan operasi pencarian pesawat MH370 tersebut hanya akan diputuskan bersama oleh Kerajaan Malaysia, China dan Australia setelah mendapat nasihat teknikal daripada kumpulan pakar berhubung satelit.

Ia dianggotai oleh pakar Air Accident Investigation Branch (AAIB), United Kingdom; National Transportation Safety Board (NTSB) Amerika Syarikat; Australian Transportation Safety Bureau (ATSB), Boeing Australia's Defense Science and Technology Organisation, Thales, Inmarsat dan Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia.

Menteri pengangkutan juga menjawab bahawa kerajaan telah menyalurkan peruntukan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengangkutan untuk diagihkan kepada jabatan/agensi yang terlibat seperti Kementerian Pertahanan, Jabatan Penerbangan Awam dan lain-lain jabatan/agensi berkaitan bagi maksud operasi pencarian MH370.

Behubungan dengan soalan berkaitan dengan jumlah perbelanjaan yang terlibat, Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa sehingga Disember 2014, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM79,031,905.76 dalam operasi pesawat MH370.

Bagaimanapun, anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian tersebut tidak dapat ditentukan kerana operasi pencarian masih lagi dilaksanakan.


V SIVAKUMAR anggota parlimen Batu Gajah dan timbalan pengerusi DAP Perak.

Lihat Komen
ADS