Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya ingin mengulas mengenai rencana Mazin Noordin bertajuk Jangan ungkit hak asasi perkahwinan yang tersiar di Utusan Malaysia .

Sebagai seorang lelaki Muslim yang sudah berumahtangga, saya sangat bimbang dengan pendapat yang dikemukakan tentang isu ini.

Kenyataan Mazin dalam rencananya bahawa 'Apabila seorang wanita merelakan diri dikahwini, bermakna dia merelakan hubungan seksual' bukan sahaja pandangan simplistik dan merbahaya, malah ianya meletakkan maruah dan nilai wanita sekadar objek seksual bagi kaum lelaki.

Persoalannya ialah apakah kita merestui penggunaan paksaan terhadap si isteri untuk melakukan hubungan seks walaupun tidak dipersetujuinya? Atau adakah keganasan seksual itu berhenti secara automatik di tangga perkahwinan?

Adakah suami-isteri bebas daripada melakukan keganasan dan penganiayaan terhadap satu sama lain? Adakah keganasan seksual tidak wujud dalam konteks perkahwinan? Sekiranya seorang wanita tidak mahu melakukan seks tetapi dipaksa juga untuk melakukannya, bukankah itu rogol namanya?

Hakikatnya, tiada perbezaan di antara keganasan seksual yang berlaku di luar atau dalam perkahwinan. Keganasan seksual yang berlaku dalam rumahtangga, tetap keganasan dan salah dari segi undang-undang dan hukum syarak.

Ini bukanlah mengenai siapa hendak menjadi pemimpin keluarga dan hak penjagaan anak seperti dibandingkan dalam rencana Mazin, tetapi mengenai memberikan perlindungan kepada isteri sebagai seorang manusia.

Tentunya, Mufti Perak menyokong kenyataan bahawa Islam bukanlah sebuah agama mengenai penganiayaan dan kezaliman, tetapi mengenai keadilan dan kesaksamaan hak.

Ia menggariskan hak-hak asasi bagi kesejahteraan dan perlindungan kedua-dua suami dan isteri dalam konteks perkahwinan. Ia tidak pula mengatakan bahawa kerelaan seks seorang isteri adalah hak dan tuntutan mutlak suami.

Walaupun hukum sudah menggariskan batasan dan manusia sepatutnya mengawal dirinya tanpa undang-undang, bolehkah dijamin bahawa semua suami berkelakuan baik dalam perkahwinan dan mengikut hukum syarak?

Sekiranya ya, mengapakah begitu ramai lelaki yang merogol, juga dari kalangan mereka yang sudah berumahtangga? Adakah salah isteri mereka yang mungkin tidak memenuhi kehendak seksual suami, lantas mereka merogol atau mencari saluran lain bagi memuaskan kehendaknya, seperti Mazin katakan?

Janganlah kita mengambil pandangan yang simplistik dan tidak realistik tanpa mengambilkira erti keadilan dari segi undang-undang dan hukum bagi beratusan isteri yang sudah lama menderita akibat keganasan seksual.

Isu ini bukanlah mengenai Suhakam yang dituduh mempromosikan pengaruh atau nilai-nilai Barat, tetapi mengenai perlunya perlindungan dan keadilan untuk wanita bagi mencegah penganiayaan dan kezaliman, akibat keganasan seksual yang hakikatnya berlaku di kalangan masyarakat Malaysia.

Saya mengalu-alukan perkembangan ini dan mengharapkan sokongan terus diberikan kepada Suhakam bagi memastikan keadilan dan perlindungan dapat diberikan kepada golongan wanita ini.

ADS