Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, Khamis 2 April 2015, ADUN Paya Jaras telah membantah akhbar SelangorKini (milik kerajaan negeri) kerana menyediakan ruangan khas untuk tulisan-tulisan sastera (cerpen dan puisi) dan esei seni budaya.

Dia mengatakan tidak ada orang mahu membaca tulisan sastera budaya seperti itu, dan mencadangkan supaya ruangan itu dihentikan untuk digantikan dengan tulisan-tulisan mengenai sukan.

Kami Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) menyatakan kesal terhadap sikap dan pandangan Adun tersebut, dengan hujah-hujah berikut:

(1) Bahawa sejak wujudnya kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat pada tahun 2008, hingga kini, PAKSI memperhatikan pihak Pakatan Rakyat tidak begitu mempedulikan hal sastera budaya, berbanding dengan pihak kerajaan BN yang jauh lebih prihatin terhadap hal-hal sastera budaya.

(2) Pihak Paksi telah beberapa kali menyuarakan kekesalan ini kepada pihak Pakatan, antaranya:

  • melalui ucapan presiden PAKSI di hadapan menteri besar Selangor, dalam Konvensyen Penulis Selangor pada 26 Jun 2011, di Shah Alam;

 

  • melalui ucapan presiden PAKSI dalam Konvensyen Pakatan 2012 di Alor Setar, 12 Januari 2012; melalui ucapan presiden PAKSI di hadapan pimpinan tertinggi PAS termasuk presiden dan timbalan presidennya di majlis Dialog Budaya bersama pimpinan tertinggi PAS, di Shah Alam, 20 Oktober 2013; dan
  •  

  • melalui buku khas terbitan PAKSI tahun 2012, berjudul Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya .
  • (3) Dalam empat situasi tersebut, teguran dalam konvensyen Penulis Selangor 2011 itu mendapat respons positif daripada menteri besar Selangor ketika itu, dan diikuti dengan pelaksanaan beberapa program seni budaya yang penting di Selangor.

    PAKSI merekodkan hal tersebut dalam buku yang baru diterbitkan, berjudul Jelajah Budaya. Manakala teguran dalam tiga situasi lain tidak mendapat sebarang respons positif.

    (4) Akibat daripada sikap tidak peduli sastera budaya di pihak Pakatan itu, golongan penulis, seniman, wartawan dan ilmuwan (yakni budayawan) di negara ini kebanyakannya (sekitar 80-90 peratus) masih menyebelahi/menyokong BN dan menolak Pakatan.

    (5) Dengan latar belakang tersebut apabila exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab mengenai budaya, Amirudin Shari mengambil langkah menyediakan ruangan tetap sastera budaya dalam SelangorKini (dan menjanjikan hadiah tahunan bagi karya-karya terpilih), PAKSI amat menghargainya dan menganggap ia memulakan era baru sastera budaya dalam Pakatan, yang akan diikuti dengan beberapa lagi program ke arah kemajuan sastera budaya dalam kerajaan Pakatan (khasnya di Selangor), yang akan menyaingi pihak BN.

    (6) Ekoran pandangan negatif ADUN Paya Jaras itu, keesokan harinya (3 April) Amirudin telah membuat penjelasan dan mempertahankan tindakan SelangorKini , mungkin orang menganggap isu berkenaan telah selesai.

    Namun PAKSI tidak menganggap demikian. PAKSI masih melihat perlunya para pemimpin politik khasnya ADUN Pakatan, diberi kesedaran pentingnya mereka memahami akan keperluan sasterabudaya dalam pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

    (7) Misalnya, Paksi percaya bahawa krisis politik yang berlarutan dalam Pakatan sekarang tidak akan menjadi seburuk itu sekiranya pihak pimpinan Pakatan memberi perhatian dan pengiktirafan sewajarnya kepada sastera budaya. (Paksi akan berwacana dengan Amirudin mengenai ‘Revolusi Budaya’ yang diperlukan dalam masyarakat kita, pada 9 April ini, di Petaling Jaya).

    (8) Bahkan PAKSI juga percaya sekiranya para penulis, seniman, wartawan dan ilmuwan kita pada tahun-tahun pra-Reformasi itu terdiri daripada mereka yang berprinsip dan mempunyai nurani yang komited kepada kebenaran dan keadilan, nescaya tidak akan berlaku (atau tidak akan berjaya) peristiwa Fitnah Besar yang mengubah lanskap politik dan sosial Malaysia 1998. Demikian pentingnya peranan penulis dan budayawan dalam kehidupan bermasyarakat/bernegara.

    (9) Maka Paksi berharap para wakil rakyat kita janganlah mudah terikut-ikut selera dan trend bermusim dalam masyarakat umum yang begitu meminati sukan dan hiburan, hingga melupakan tugas sebenar mereka untuk ‘memimpin’ dan membawa masyarakat kepada kemajuan dan kesejahteraan - dunia dan akhirat.


    SENIMAN PAKSI RAKYAT (PAKSI)

    Lihat Komen
    ADS