Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polemik politik dan sosioekonomi hari ini, terutamanya melibatkan rakyat, semakin berubah dan jauh lebih ke depan. Begitu juga dengan pembangunan negara yang dipacu maju bergerak pantas. Seiringan dengan itu, keseimbangan antara pembangunan dan rakyat perlu distabilkan agar kedua-duanya tidak terjejas apabila ia melibatkan kepentingan umum.

Mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pernah berkata kononnya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak suka cara kerajaan persekutuan membantu meringankan bebanan rakyat dengan cara mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurut Daim, ia adalah polisi buruk dan dianggap tidak perlu diwujudkan.

Dalam soal ini, kita boleh saja membangkitkan rasa tidak puas hati dengan cara pelaksanaannya tetapi perlu diingat, bagi golongan yang benar-benar memerlukan, BR1M adalah rahmat yang sentiasa disyukuri.

Polisi kerajaan kini ialah mengutamakan kepentingan semua golongan dan sesuatu dasar selepas mengambil kira makluman pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sebagai contoh :

1. BR1M dilaksanakan untuk membantu golongan rakyat berpendapatan rendah. Sudah pasti sedikit sebanyak ianya meringankan bebanan ditanggung hari ini.

2. Kadar pendapatan yang boleh dicukai dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000 kerana mengambil kira bebanan golongan berpendapatan sederhana.

3. Perumahan kos rendah ditingkatkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Syarikat Perumahan Negara Berhad, FELDA dan FELCRA khusus untuk membantu penduduk di luar bandar membina kediaman yang lebih selesa.

4. Program perumahan mampu milik dibina untuk golongan yang berpendapatan sederhana tinggi terutama yang menetap di kawasan bandar.

Ia antara puluhan atau barangkali ratusan tawaran yang diciptakan dan diberikan daripada rakyat untuk rakyat pelbagai peringkat golongan. Sebagai anak muda yang merasai nikmat pembangunan dan kemajuan negara di bawah pemerintahan Dr Mahathir, kami amat bersyukur dan berbangga kerana boleh melihat Malaysia membangun dengan pesatnya.

Namun kita perlu memikirkan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan bebanan kos sara hidup yang tinggi. Berbincang tanpa mengemukakan keputusan sudah tentu tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Dalam masa yang sama juga, pemimpin veteran dan semasa perlu duduk semeja bagi memikirkan cara untuk mengawal dan menggunakan subsidi untuk golongan yang memerlukan supaya rakyat tidak dibebankan dengan kos sara hidup melampau.

Gaya hidup hari ini semakin berubah. Apa yang pasti, semakin jauh kita bergerak mengejar kemajuan, semakin berubah polisi dan pemikiran.


MOHD RAZLAN MUHAMMAD RAFII ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan

Lihat Komen
ADS