Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Agak sukar untuk kita mencari pemimpin Umno Terengganu yang benar-benar berwawasan dan mampu membawa Terengganu ke hadapan untuk kepentingan negeri dan rakyatnya. Ramai daripada mereka hanya memikirkan kepentingan diri demi 'survival politik' masing-masing. Itu sahaja.

Kita alami zaman Wan Mokhtar memerintah negeri selama lebih 20 tahun. Apa yang dapat kita banggakan? Begitu juga dengan pimpinan terdahulu. (Kalau nak dikecualikan mungkin Ibrahim Fikri dalam hal-hal tertentu) Kita lihat pula perancangan Idris Jusoh yang banyak yang bakal menyerupai Wan Mokhtar.

Selama 40 tahun BN/Perikatan memerintah Terengganu, ianya menjadi negeri termiskin di kalangan negeri-negeri yang diperintah oleh parti kerajaan Persekutuan. Dari segi peratus kemiskinannya, hampir-hampir menjadi lebih miskin dari Kelantan yang telah sekian lama diperintah PAS.

Dan yang anehnya, dari segi hasil pengeluaran, Terengganu jauh lebih kaya dari banyak negeri lain berikutan hasil dari royalti minyak yang berjumlah anggaran RM850 juta (di zaman pemerintahan Wan Mokhtar sahaja!).

Suatu aspek pembangunan wawasan Wan Mokhtar yang sempit ialah yang pembangunan hasil dari aktiviti industri petroleum dan gas asli di Kerteh melihatkan pembangunan dan pertumbuhan tertumpu ke Kemaman.

Kini kita dapat lihat kepesatan pembangunan bercendawan di sekitar Kuantan, hasil limpahan daripada pertumbuhan industri ini. Hasilnya, Gebeng kini menjadi jauh lebih hebat dari pusat sumber pengeluaran minyak itu sendiri.

Sepatutnya kepesatan itu tertumpu kepada sekitar Paka-Kerteh dan kalau melimpah pun, harus menghala ke utara (Dungun) dan ke selatan Kijal/Kemasik. Tapak perindustrian yang lebih 20 tahun disediakan (sekitar Perwaja), tidak bermaya untuk hidup, walaupun ianya jauh lebih dekat dengan Kerteh dan Pelabuhan Kemaman (yang hanya bersebelahan).

Jika perancangan pembangunan dibuat supaya limpahannya menghala ke utara dengan menghidupkan kepesatan Dungun yang suatu masa dulu merupakan bandar industri biji besi, sudah pasti lebih ramai rakyat Terengganu dapat merasai pembangunan hasil pengeluaran negerinya sendiri. Begitulah juga jika kepesatan itu melimpah ke Kijal/Kemasik.

Satu lagi kekurangan wawasan serta sikap pimpinan Umno negeri ini ialah dalam isu royalti. Ketaksuban dalam menyokong Mahathir Mohamd yang merampas hasil Terengganu selama lebih 20 tahun yang mengakibatkan kering-kontang wang negeri. Kini royalti sudah tidak akan dikembalikan.

Tanya mana-mana ahli perniagaan. Jawapan jujur mereka ialah tidak ada projek. Sebab itu, baru-baru ini, Pak Lah marah apabila masyarakat umum telah mulai maklum bahawa kerajaan tidak ada duit. Sebab itu, banyak projek dibatalkan atau ditangguhkan dengan pelbagai alasan manis supaya tidak nampak terlalu ketara.

Dalam menentukan 'alignment' untuk pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Dua, perancangan harus dibuat dengan mengambil kira aspek untuk menyokong pembangunan negeri dan menambahkan lagi jaringan infrastuktur jalanraya. Jangan LPT itu hanya sekadar menaiktaraf jalan utama yang sedia ada untuk dipanggil lebuhraya.

Biarlah pembinaan LPT itu akhirnya menyediakan tiga laluan utama membelah negeri, dari utara ke selatan. Kalau setakat menaik taraf jalan sedia ada, maka negeri tidak untung.

Mengenai penutupan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), ia sekali lagi jelas menunjuk sikap fikiran yang singkat di kalangan pimpinan Umno negeri. Mereka menyokongnya secara membuta tuli hinggakan rakyat umum yang rugi.

Apa salahnya jika pimpinan Umno negeri mengubahsikit mentaliti mereka? Biarlah nampak mereka ini menjuarakan kebajikan dan kepentingan rakyat, bukannya untuk sepak teranjang politik masing-masing.

Kita telah melihat permainan politik Wan Mokhtar-Yusof Nor. Kita juga telah melihat fenomena yang sama dalam sepak teranjang politik Idris Jusoh.

Berapa ramai pimpinan lapisan Umno yang berpotensi telah diketepikan. Ramai bakat-bakat lain yang dipendamkan oleh Idris demi memperkukuhkan kepimpinannya di negeri tersebut.

Siapa yang rugi?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS