Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sisters in Islam (SIS) memandang serius kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan mutakhir ini yang cuba mempertahankan pemerkosaan dalam perkahwinan atas nama Islam, berikutan kempen “Without Consent” yang dilancarkan DAP.

Sebagai agama yang sangat menyantuni wanita, perhubungan suami isteri dalam Islam dibina atas dasar kasih-sayang dan hormat menghormati sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran dalam Surah al-Ruum ayat 21:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu berdua rasa kasih dan sayang.

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.’

Islam memberikan hak-hak yang sama rata di antara suami dan isteri dalam perkahwinan dan menyangkut soal perhubungan seksual, al-Quran menyatakan di dalam Surah al-Nisaa’ ayat 19:

“…dan gaulilah isterimu dengan cara yang makruf...”

Imam Al Ghazali sewaktu menyatakan tentang tanggungjawab suami terhadap isteri memetik firman Allah SWT dalam Surah Al Nisaa’ ayat 36 yang menyatakan:

“…Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, saudara mara, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahaya kamu…”

Dan beliau menyatakan bahawa “teman sejawat” yang dirujuk oleh Allah dalam ayat tersebut bermaksud isteri.

Beliau selanjutnya menyatakan bahawa menyantuni isteri dengan baik bukan sahaja bermaksud tidak menyakiti mereka secara fizikal, bahkan juga secara emosi.

Pemaksaan kepada isteri untuk melakukan hubungan seksual bukan sahaja satu penderaan fizikal bahkan ia penderaan emosi yang dilarang oleh Islam.

Kenyataan-kenyataan yang membenarkan pemerkosaan dalam perkahwinan adalah bercanggah dengan objektif al-Quran yang menjamin kesetaraan hubungan antara suami dan isteri berdasarkan semangat mawaddah wa rahmah.


SISTERS IN ISLAM (SIS) sebuah NGO memperjuangkan hak-hak wanita.

Lihat Komen
ADS