Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Rompin menang dan berjaya meningkatkan sokongan pengundi di banyak unit peti undi (UPU) dan BN pula menghadapi kemerosotan sokongan yang sangat ketara.

 

Kebiasaannya BN menang besar dalam mana-mana pilihan raya kecil khususnya di tempat mereka sebagai penyandangnya.

Namun, limpahan janji pembangunan dan projek segera turun di Rompin, BN masih gagal mempertahankan reputasi sokongan mereka.

 

Peratusan keluar mengundi semalam merosot kepada 74 peratus berbanding sahaja daripada 85.9 pada 2013.

 

Untuk lebih tepat, perbandingan keputusan semalam perlu dibuat secara relatif dengan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua pilihan raya.

Pada PRU13, jumlah keluar mengundi ialah 45,849 orang dan keputusannya ialah BN mendapat 30,040 undi dan PAS pula mendapat 14,926 undi menjadikan majoritinya ialah 15,114 undi.

Bagi PRK Rompin yang diadakan semalam pula, SPR telah mengumumkan keputusannya iaitu BN mendapat 23,796 undi dan PAS pula mendapat 14,901 undi.

Ini menjadikan jumlah majoritinya yang diperolehi BN sebanyak 8,895 undi. Undi rosak pula ialah 591 undi. Ini bermakna terdapat 39,288 orang yang telah keluar membuang undi pada hari semalam.

 

Dengan kemerosotan peratusan keluar mengundi semalam, bagi mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13, BN sekurang-kurangnya patut mendapat 25,741 undi dan PAS pula memadai mendapat 12,790 undi sahaja.

Tetapi, berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, undi BN menurun sebanyak 20.8 peratus (6,244 undi) berdasarkan PRU13 lalu.

Menariknya, undi PAS pula telah melebihi 14.2 peratus (2,111 undi) daripada kedudukan untuk mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13 lepas. Mudahnya, tahap sokongan terhadap PAS sebenarnya meningkat.

 

Ini adalah satu kejayaan besar bagi PAS di kawasan pengundi majoriti Melayu dalam keadaan sebahagian tenaga kerja pilihanraya PAS dari Perlis, Kedah, Penang dan Perak dibekalkan ke Permatang Pauh.

 

Berdasarkan analisis ini ia memberi satu petunjuk bahawa isu yang dibawa oleh PAS berkaitan percukaian GST, salah urus kewangan negara, undang-undang Islam, Felda, pemilikan geran tanah semakin mendapat perhatian daripada pengundi Rompin.

Apatah lagi berlaku peningkatan undi khususnya di kawasan Felda yang terkenal sebagai kubu Umno.

 

Akhirnya saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Syabas juga diucapkan kepada Ustaz Nazri Ahmad kerana bersedia memikul amanah jamaah dan di atas semua pengorbanan yang telah dilakukan. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kita semua.


MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ahli parlimen Kuala Nerus.

Lihat Komen
ADS