Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Merujuk kepada blog Chedet bertajuk 1MDB, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim:  "And as member of the Anti-Corruption Commission, he can make a full investigation of my record to find out how many billions I stole from the Government as he seems to imply."

Blog tersebut menyatakan Tunku Aziz, sebagai ahli salah satu badan bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), seharusnya menjalankan siasatan penuh berhubung “wang  yang dikatakan dicuri dari kerajaan".

Pada pandangan saya, fungsi hakiki LPPR hanya sebagai penasihat kepada SPRM. Begitu juga empat badan bebas lain yang memantau perjalanan SPRM.

LPPR dan empat badan bebas yang lain iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), sebenarnya mewakili masyarakat dan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyiasat atau mengarahkan SPRM menjalankan siasatan. Ini kerana SPRM merupakan sebuah suruhanjaya yang bebas.

LPPR merupakan salah satu badan bebas yang bertindak sebagai check and balance terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsinya.

Masyarakat perlu memahami fungsi sebenar LPPR dan ahli-ahlinya mewakili  rakyat bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.  Antara terma rujukan LPPR adalah:

  • Untuk menasihati SPRM tentang apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia;
  • Untuk menasihati SPRM mengenai dasar dan strategi dalam usahanya untuk membanteras rasuah;
  • Untuk menerima, meneliti dan meluluskan cadangan daripada SPRM ke arah perjalanan cekap dan berkesan; dan
  • Untuk mengemukakan ulasannya tentang perjalanan SPRM sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.
LPPR dan empat badan bebas yang lain boleh meminta SPRM untuk menjelaskan mana-mana isu berhubung rasuah tetapi tidak ada kuasa untuk menyiasat sesuatu kes.

Perlu difahami, siasatan yang dilakukan oleh SPRM bukan mengikut kehendak dan keperluan ahli-ahli panel bebas SPRM, sebaliknya siasatan yang dijalankan perlu berteraskan peruntukan atau semangat Akta SPRM 2009. SPRM hanya boleh menyiasat jika ada unsur rasuah selaras dengan Akta SPRM 2009.

Diharap orang ramai faham kedudukan ini.

Seperti dikatakan Tunku Aziz baru-baru ini, SPRM tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan sekiranya ada bukti kukuh wujudnya unsur rasuah.

Sehubungan itu, masyarakat perlu memberi kepercayaan dan perlu yakin bahawa SPRM akan menjalankan tanggungjawab menyiasat sebarang isu yang ada unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.


DATUK TAKIYUDDIN HASSAN ialah Ahli Parlimen Kota Bharu dan Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah

Lihat Komen
ADS