Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peguam MAIWP di Mahkamah Persekutuan menyatakan hujah hari ini bahawa kesemua enakmen Islam dikecualikan daripada hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini membangkitkan persoalan membimbangkan terhadap komitmen perdana menteri dan Kabinet terhadap prinsip asas perlembagaan serta kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Tambahan pula, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan bulan Ogos untuk mendengar hujahan penting dalam kes rayuan peguam Victoria Jayaseela Martin yang memohon hak untuk beramal di Mahkamah Syariah.  

Ini membangkitkan persoalan lanjut tentang komitmen perdana menteri dan Kabinetnya dalam hal ini.

MAIWP adalah sebuah badan kerajaan yang dipengerusikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal Islam.

Timbalan pengerusinya ialah Dato Othman Mustapha, ketua pengarah JAKIM, dan mempunyai anggota ex-officio yang terdiri daripada Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, Datuk Bandar dan wakil-wakil daripada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Polis Negara.

Dilaporkan, penangguhan pendengaran kes tersebut di Mahkamah Persekutuan hari ini ke bulan Ogos nanti akan turut memberi masa bagi Jabatan Peguam Negara memutuskan pendirian apa yang bakal diambil.

Ini sangat mengarut memandangkan Peguam Negara adalah anggota ex-officio MAIWP.

Adakah Gani Patail bersetuju dengan hujahan yang akan dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan bagi pihak MAIWP bahawa semua enakmen Islam adalah dikecualikan daripada hak-hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Ini kerana, Perkara 4 memperuntukkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara adalah tidak terpakai. Adakah Peguam Negara langsung tidak dimaklumkan tentang hujahan tersebut sehingga hari ini?

Selanjutnya, saya ingin bertanya sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom telah bersetuju dengan hujahan oleh peguam MAIWP di Mahkamah Persekutuan yang menyerang keluhuran Perlembagaan sebagai undang-undang negara?

Adakah ini juga pendirian yang diambil oleh perdana menteri dan Kabinet?

Perdana Menteri dan Kabinet tidak boleh berkata mereka tidak tahu tentang serangan yang begitu hebat terhadap Perlembagaan, terutamanya setelah ia dikemukakan dan dibuat dengan persetujuan salah seorang menteri Kabinet.

Mana-mana peguam pun boleh membuat sebarang tafsiran yang melemahkan prinsip teras Perlembagaan, tetapi lain pula halnya sekiranya hujahan tersebut dibuat di Mahkamah Persekutuan di atas nama kerajaan atau Kabinet atau mana-mana bahagian yang berkaitan dengannya.

Kejadian seperti ini langsung tidak pernah berlaku di bawah lima Perdana Menteri Malaysia sebelum ini sejak 1957 sehingga 2009.

Bolehkah Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan kenapa hal sebegini boleh terjadi ketika tempoh beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri?


LIM KIT SIANG ketua parlimen DAP dan MP Gelang Patah.

Lihat Komen
ADS