Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penemuan 139 kubur dan 28 kem transit pendatang asing yang didakwa telah wujud sejak lima tahun lalu di sempadan Malaysia-Thailand menimbulkan persoalan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal di negeri Perlis.

Tambahan pula ia berlaku di kawasan Taman Negeri Perlis yang sepatutnya dikawal ketat dan tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya.

Persoalan ini menimbulkan pertanyaan kepada orang ramai sama ada sempadan negara telah dikompromi oleh pihak tertentu.

Pihak berkuasa Malaysia di dalam kenyataan seperti yang dilaporkan dalam Bernama melaporkan ianya dipercayai diduduki sejak 2013 dan terbaru dua kem ditinggalkan antara dua hingga tiga minggu lepas.

Jelas bahawa kem pelarian ini telah lama wujud di tanah air kita. Kami bimbang ada sindiket pemerdagangan manusia yang aktif dan dilindungi secara sistematik oleh pihak tertentu.

PKR Perlis menggesa kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia memandang berat isu ini dan tidak melindungi mana-mana individu yang terlibat kerana ianya melibatkan beratus-ratus nyawa.

Sekali lagi kami menuntut siasatan yang telus terhadap kes sebegini kerana ia adalah tragedi kemanusiaan yang amat memalukan Malaysia di mata dunia. Pihak yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan.


MOHD FAISOL ABDUL RAHMAN pengerusi PKR Perlis.

Lihat Komen
ADS