Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) khuatir dengan laporan berita mengenai penemuan kubur-kubur besar di dalam negara yang mengandungi mayat pendatang asing.

Suhakam ulangi pendirian bahawa pemerdagangan orang merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang dahsyat, diburukkan lagi antaranya dengan ketiadaan undang-undang dan polisi yang mencukupi, kekurangan penguatkuasaan undang-undang, sempadan yang senang dibolosi, kegagalan mendakwa pesalah pemerdagangan orang dan subahat di kalangan penjawat awam yang mengambil rasuah.

Suruhanjaya bimbang kerana walaupun terdapat undang-undang yang komprehensif di Malaysia bagi memerangi pemerdagangan orang, khususnya Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, kes-kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran semakin meningkat.

Suruhanjaya juga kecewa apabila Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO) tidak mengambil peluang untuk menasihati Kerajaan mengenai langkah-langkah sementara yang sesuai, untuk menangani isu-isu mendesak, yang mungkin menafikan hak untuk hidup, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Sejajar dengan pendekatan hak asasi manusia untuk menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, Suhakam mengingatkan bahawa kerajaan Malaysia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk bertindak dengan sewajarnya bagi mencegah, menyiasat dan mendakwa pemerdagangan orang dan untuk membantu dan melindungi mangsa pemerdagangan.

Oleh itu, Suhakam menyarankan agar diadakan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan negara asal mangsa pemerdagangan, serta usaha-usaha serantau dengan tujuan untuk meningkatkan kerjasama bagi mencegah, menyekat dan menghukum pemerdagangan orang.

Suhakam turut mengesyorkan supaya diwujudkan kerjasama dengan NGO yang boleh membantu mangsa pemerdagangan di Malaysia. Mangsa pemerdagangan ini juga sepatutnya dibenarkan bekerja dan tinggal di luar daripada tempat yang disediakan oleh kerajaan.

Lebih penting lagi, Suruhanjaya menyeru supaya pihak berkuasa bersungguh-sungguh dalam mengenal pasti dan menghapuskan penglibatan atau subahat dari kalangan sektor awam dan swasta dalam pemerdagangan orang.

Dengan berbuat demikian, penguatkuasa dan/ atau penjawat awam serta individu yang disyaki terbabit dalam pemerdagangan orang hendaklah segera disiasat, dibicarakan dan, jika didapati bersalah, dikenakan hukuman yang setimpal.

Suruhanjaya juga menyeru pihak berkuasa mengambil langkah-langkah positif untuk mengenal pasti, membeku dan menyita aset individu dan orang yang terlibat dalam urusan pemerdagangan orang. Aset-aset yang dirampas boleh digunakan untuk membantu dan membayar pampasan kepada mangsa pemerdagangan.

Suruhanjaya mengingatkan bahawa respons Malaysia terhadap isu pemerdagangan orang mesti mencerminkan sepenuhnya tanggungjawab antarabangsanya. Oleh itu, Suruhanjaya menggesa Kerajaan untuk segera menyertai Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka 1990, Konvensyen berkenaan dengan Status Pelarian 1951 dan Protokol Berkenaan dengan Status Pelarian 1967 sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menunjukkan kesungguhan Kerajaan dalam memerangi pemerdagangan orang dan / atau penyeludupan migran.

Malaysia telahpun meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang Jenayah Terancang Merentas Negara pada tahun 2004 dan menerimapakai Protokol PBB untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Pemerdagangan Orang, Terutama Wanita dan Kanak-kanak pada tahun 2009.

Namun Suhakam mengesyorkan Malaysia menyertai Protokol PBB menentang Penyeludupan Migran melalui Darat, Laut, dan Udara, yang mana kesemua konvensyen tersebut menyediakan garis panduan yang jelas dalam mengenalpasti, mencegah, dan mendakwa pemerdagangan orang.

Suruhanjaya juga menekankan bahawa usaha mencegah, mengenalpasti, dan membantu mangsa pemerdagangan memerlukan pendekatan multisistem yang bersepadu dan menyarankan agar siasatan bebas diadakan dengan tujuan menjadikan perdagangan orang sebagai salah satu agenda politik negara. Suruhanjaya juga mengambil peluang ini untuk menawarkan kesediaan untuk membantu dalam siasatan ini.

Di samping itu, Suhakam mengingatkan Kerajaan mengenai komitmennya terhadap pemerdagangan orang semasa Malaysia dinilai di bawah Penilaian Penggal Sejagat yang Kedua (UPR) dan mengulangi pendirian bahawa hak asasi mangsa pemerdagangan menjadi tunjang utama segala usaha untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan orang dan dalam masa yang sama, melindungi, membantu dan menyediakan penyelesaian kepada mangsa.


DATUK DR KHAW LAKE TEE pemangku pengerusi Suhakam.

Lihat Komen
ADS