Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Adakah Najib bersedia untuk mendedahkan dan mengecam pegawai Kementerian Kewangan yang membenarkan Arul dan Shahrol ponteng daripada siasatan PAC ke atas skandal 1MDB hari ini?

Orang ramai sudah letih, tidak percaya malah menyampah dengan sandiwara skandal RM42 bilion 1MDB dalam tempoh empat tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa presiden merangkap pengarah eksekutif kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy serta bekas CEO 1MDB Shahrol Halmi akan memberi kenyataan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

Bagaimanapun jaminan ini tidak mampu meredakan kemarahan orang ramai terhadap kedua-duanya yang bertindak menghina Parlimen dengan tidak menghadiri siasatan PAC yang dijadualkan hari ini.

Kenyataan Najib bahawa para pegawai 1MDB itu akan bertemu PAC dan tidak akan melarikan diri hanyalah cakap kosong.

Arul Kanda dan Shahrol Halmi boleh sahaja mengelak siasatan PAC ke atas 1MDB hari ini dengan alasan mengarut kononnya mereka ada tugasan di luar negara.

Sedangkan, Kementerian Kewangan sendiri tidak boleh mendedahkan di negara mana Arul dan Shahrol berada hari ini. Jadi, apa komitmen yang lebih penting daripada siasatan PAC?

Najib juga berbohong dalam jawapan parlimennya mengenai deposit US$1 bilion dari Kepulauan Cayman ke dalam sebuah bank di Singapura.

Adakah Kementerian Kewangan juga berbohong kepada PAC bahawa kononnya Arul dan Shahrol mempunyai tugasan lebih penting di luar negara sehingga tidak dapat menghadiri siasatan?

Nampaknya begitulah memandangkan alasan yang diberikan Najib, para pegawai 1MDB itu kononnnya ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Alasan “ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu” jelas berbeza dengan alasan “mempunyai tugasan luar negara” yang menyebabkan mereka tidak dapat hadir bagi siasatan PAC.

Tambahan pula, Arul mampu memberi respon segera melalui kenyataan media sepanjang dua hari lalu terhadap isu yang dibangkitkan.

Ini menimbulkan persoalan sama ada Arul benar-benar berada di luar negara.

Perdana Menteri harus memastikan bahawa permohonan maaf dibuat segera kepada PAC sekiranya ada yang telah berbohong tentang ketidakhadiran pasangan tersebut ke siasatan PAC hari ini.

Rakyat Malaysia berhak tahu kenapa 1MDB perlu “selesaikan sesuatu terlebih dahulu” sebelum siasatan PAC dijalankan ke atas skandalnya, sekiranya semua transaksi dan operasinya jujur dan bersih.

Boleh Najib menjelaskan kenapa Arul dan Shahrol meminta penangguhan 30 hari sebelum muncul untuk siasatan PAC, dan apakah bendanya yang “perlu diselesaikan terlebih dahulu” di 1MDB?

Walaupun Najib kini berada di Jepun, beliau jelas sedang mengikuti perkembangan 1MDB dengan begitu rapat.

Jika demikian keadaannya, Najib mesti bersedia untuk mendedahkan serta mengecam pegawai Kementerian Kewangan yang telah membenarkan Arul dan Shahrol ponteng daripada siasatan PAC ke atas skandal 1MDB hari ini.

Pihak yang membenarkan mereka bertindak menghina parlimen sebegini mungkin melibatkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, atau perdana menteri sendiri.


LIM KIT SIANG ketua parlimen DAP dan MP Gelang Patah.

Lihat Komen
ADS