Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merakamkan rasa terkejut dan sangat sedih dengan berita mengenai penemuan kubur besar di Perlis yang dijangka melibatkan mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya dari Myanmar yang diseludup ke Malaysia.

Tidak ada kenyataan yang wajar dilontarkan selain kutukan sekeras-kerasnya kepada mereka yang terlibat.

Inilah jenayah kemanusiaan di zaman moden yang paling jijik yang melibatkan eksploitasi golongan yang lemah untuk menjadi hamba kepada mereka yang rakus dan zalim.

Kami mendesak pihak berkuasa bertindak tegas membanteras sindiket pemerdagangan manusia yang jelas nampaknya bergerak aktif di sempadan Malaysia dan Thailand.

Jenayah ini sama sekali tidak boleh dikompromi dan pihak yang terlibat mesti dihukum dengan hukuman paling berat mengikut undang-undang yang sedia ada. Mana-mana pihak dari agensi kerajaan yang didapati terbabit dan bersubahat perlu didakwa dan dihukum.

Kami mengesa agar data DNA mangsa dapat dikumpul untuk memungkinkan saudara-mara mereka dapat menghubungi pihak keselamatan bagi memastikan sama ada yang terlibat dibunuh dan ditanam dalam kubur yang ditemui itu adalah saudara mereka yang berkenaan.

Mapim bersedia menghulurkan khidmat perhubungan antara keluarga etnik Rohingya yang sudah berada di Malaysia untuk mengenalpasti sama ada mangsa yang terlibat adalah ahli keluarga mereka.

Penemuan 139 kubur bersama 29 kem yang dijangka melibatkan mangsa Rohingya dari Myanmar di hutan Perlis baru-baru ini secara jelas menandakan bahawa kegiatan sindiket Pemerdagangan manusia antara sempadan Malaysia dan Thailand bergiat  secara terancang dan terlindung.

Tanda sindiket ini bergerak dengan terancang dan mempunyai keupayaan mengendalikan ratusan  mangsa untuk ditempatkan di kem di dalam hutan antara sempadan Thailand dan Malaysia , menunjukkan operasi mereka sangat licik dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang berkesan.

Menteri Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa sindiket ini sudah beroperasi sejak lima tahun yang lalu. Tidak mungkin kegiatan ini yang didakwa tidak dapat dikesan atau diketahui oleh pihak keselamatan di kedua-dua negara.

Penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia antara sempadan dua negara ini pasti disedari oleh pihak keselamatan, sama ada Malaysia mahupun Thailand. Dengan itu, rondaan dan pengawasan di sepanjang kawasan sempadan tidak terlalu sukar dan boleh mengesan kegiatan penyeludupan.

Apatah lagi jika ia melibatkan sekian ramai mangsa dan sekian banyak kem seperti yang ditemui di Perlis.

Soal kawasan hutan yang tebal dan terpencil dan sukar membuat pengawasan tidak harus timbul kerana pihak keselamatan boleh mengesan  melalui rondaan yang lebih kerap di kawasan yang berpotensi wujudnya operasi sindiket penyeludupan .

Penahanan 26 orang yang disyaki dan dua orang anggota polis yang dikatakan terlibat seperti yang diumumkan oleh ketua polis negara memang menunjukkan pihak keselamatan tidak mendiamkan diri. Akan tetapi penemuan sedemikian banyak kubur di sempadan Malaysia dan Thailand mendedahkan pengawasan yang dilakukan tidak berkesan.

Ternyata jenayah yang sangat keji ini berlaku dalam keadaan wujud pihak yang bersekongkol

dengan sindiket yang sanggup menyeksa dan membunuh mangsa jika keuntungan yang ingin diraih tidak diperolehi.

Kami ingin mengingatkan, pemerdagangan manusia ini hanyalah akibat dari masalah pokok yang berpunca dari penindasan dan operasi penghapusan etnik minoriti Rohingya Muslim oleh rejim Myanmar.

Sindiket yang beroperasi di tiga negara iaitu Myanmar, Thailand dan Malaysia telah mengambil kesempatan dari penindasan yang dihadapi oleh etnik Rohingya untuk menggiatkan operasi pemerdagangan manusia.

Ini juga bermakna, operasi sindiket ini tidak berjaya dibenteras oleh pihak berkuasa walaupun dengan penggubalan Akta Antipemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyuludupan Migran 2007.

Dengan penemuan kubur yang sedemikian banyak di hutan  Perlis itu membuktikan betapa sindiket tersebut bergerak dengan mudah. Pergerakan membawa mangsa pelarian Rohingya sedemikian ramai mustahil tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

Kami mengesa supaya kegiatan Pemerdafangan manusia segera diatasi pada skala antarabangsa . Punca wujudnya kegiatan ini mesti dikenalpasti yang melibatkan penindasan, diskriminasi, kemiskinan dan ketidaksamarataan ekonomi.

Adalah bergantung kepada pihak kerajaan untuk membanteras pemerdagangan manusia dengan melihat hak kerakyatan serta peluang ekonomi yang adil sebagai faktor yang dapat mengelakkan jenayah tersebut.

Kami menarik perhatian kepada Protokol Menghindari, Menindas dan Menghukum Pemerdagangan Manusia terutama Kanak-kanak dan Wanita yang diperkenalkan oleh PBB sebagai panduan untuk membanteras pemerdagangan manusia.

Ia termasuk soal melindungi mangsa yang terlibat. Malaysia dikatakan telah menandatangani protokol ini. Malaysia wajar meningkatkan usahanya selaras dengan panduan dalam protokol tersebut.

Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen PBB Mengenai Status Pelarian 1951, namun ia juga terikat kepada undang-undang antarabangsa mengenai hak asasi manusia berkait perlindungan mereka yang menghadapi ancaman nyawa akibat penindasan.

Kami menggesa agar kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk menandatangani konvensyen tersebut agar usaha di peringkat antarabangsa dapat digerakkan oleh Malaysia dengan lebih berkesan demi mengatasi jenayah pemerdagangan manusia.

Kami mengesa semua kerajaan negeri dan pusat memberi kerjasama sepenuhnya dalam menangani isu pelarian di Malaysia, terutama isu pelarian Rohingya yang kini menjadi perhatian dunia.

Malaysia adalah destinasi utama di rantau ini untuk pelarian Rohingya . Oleh kerana isu ini sangat jelas berpunca dari penindasan kaum minoriti Rohingya di Myanmar, maka menjadi tanggungjawab kemanusiaan untuk semua kerajaan negeri bersama kerajaan pusat bersepakat membantu mencari penyelesaian.

Kami mengesa agar mereka yang disahkan sebagai pelarian  yang diterima untuk penempatan sementara perlu diberi peluang bekerja untuk menampung kehidupan mereka dinegara ini. Ngo kemanusiaan perlu dilibatkan untuk membantu mereka bagi mendapatkan keperluan asas seperti persekolahan anak-anak dan rawatan kesihatan .

Kami menuntut :

Siasatan segera dilakukan oleh pihak keselamatan bagi mengenalpasti pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia dan pembunuhan beramai-ramai mangsa pelarian yang ditemui di Perlis. Kami menggesa sebuah lembaga bersepadu diwujudkan antara agensi kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilakukan dengan berkesan.

Asean dan negara kuasa besar mengadakan sidang tergempar peringkat pemimpin tertinggi  untuk menekan regim Myanmar menghentikan dasar Apartheid yang diamalkan ke atas golongan minoriti Rohingya. Pertimbangan untuk mengantung keanggotaannya dalam Asean hendaklah dijadikan satu pilihan jika regim Myanmar berdegil meneruskan penindasan ke atas minoriti Rohingya.

Malaysia perlu mengambil inisiatif utama selaku Pengerusi Asean untuk mendesak Myanmar menghentikan penindasan,  memberi kerakyatan kepada etnik Rohingya serta membenarkan pelarian Rohingya kembali ke tempat asal mereka.

Majlis Keselamatan PBB menghantar tentera pengaman ke Myanmar untuk mengawal keganasan antara kaum dan membenarkan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada mangsa minoriti Rohingya yang di tempatkan di kem IDP diseluruh negeri Rakhine (dahulunya Arakan) di Myanmar. Kaum Rohingya yang ingin pulang ke Myanmar dan perkampungan mereka hendaklah dilindungi oleh PBB.

Pihak OIC bekerjasama dengan PBB dan Asean bagi memastikan hak kaum Muslimin Rohingya sama ada yang masih berada dalam Myanmar mahupun yang menjadi pelarian di negara luar dilindungi .

Negara besar dunia iaitu AS, UK, China, India, Jepun, Australia, Kesatuan Eropah dan agensi dan kumpulan negara di peringkat antarabangsa seperti PBB, majlis keselamatannya, dan G8, menggunakan pengaruh mereka menekan Myanmar secara politik dan ekonomi.

Ini bagi memaksa regim Myanmar menghentikan dasar Apartheid ke atas minoriti Rohingya dan minoriti yang lain.


MOHD AZMI ABDUL HAMID presiden Mapim.

Lihat Komen
ADS