Akal merupakan satu anugerah yang dikurniakan Tuhan hanya pada manusia bagi mengimbangi agama dengan rasional (minda).
Agama Islam bukan agama yang mengajarkan penganutnya mengikut secara membabi buta atau dalam istilah arabnya taqlid. Bahkan, agama dan minda tidak sama sekali berlawanan. Ia harus berjalan seiring dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Kebebasan bergerak ke sekolah, tempat kerja, pasar, pusat-pusat rekreasi dan sebagainya dapat dikecapi setelah sesebuah negara mencapai kemerdekaan yang sifatnya konkrit dan material.
Namun, ada kebebasan yang masih terjajah oleh manusia. Tangan digenggam erat dijulang ke udara dan bangga berteriak, “Merdeka, Merdeka, Merdeka!” Namun tanpa sedar mindanya terpenjara dan semakin membeku.
Kemerdekaan berfikir masih membelenggu lantas melahirkan manusia tidak kritis dan kreatif. Syed Hussein Alattas mempopularkan istilah “bebalisme” dan “oblovisme” kerana bimbang dengan masyarakat membangun yang dilanda kemalasan dan ketenangan daripada berfikir.
Jika tiada usaha menyemai benih yang mencabar akal fikiran dalam masyarakat membangun maka negara akan menjadi seperti kilang yang menghasilkan manusia kaku.
Zainal Abidin atau lebih mesra dengan panggilan Za’ba, seorang pendeta bahasa Melayu yang sangat kritis dengan bangsanya sendiri turut menekankan kepentingan berfikir serta budi dalam kehidupan seharian.
Za’ba menyebut fenomena bahaya ini sekitar 80 tahun yang lalu dalam magnum opusnya iaitu 'Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri' dan masih relevan sehingga ke hari ini. Jika sifat ini bermaharajalela dan membentuk satu pandangan sarwa manusia maka ia akan terus dizahirkan melalui ungkapan.
Sifat ini merebak serta menghasilkan satu adunan yang diterjemah pada perilakunya. Dengan minda separa sedar, maka terlahirlah manusia yang mempunyai pemikiran kebergantungan.
Dunia pada hari ini tanpa sempadan. Manusia menghadapi satu fasa di mana banyak perkara yang begitu subjektif tanpa satu penetapan yang jelas antara kebenaran dan kebatilan. Semacam satu garis halus sahaja yang memisahkan dua elemen penting ini.
Tambahan pula, pembangunan serta perkembangan teknologi yang berlumba-lumba di masa kini menghimpit manusia untuk mencapai kemerdekaan berfikir. Tidak perlu disalahkan alatan teknologi kerana ia adalah satu evolusi yang berjalan seiring dengan zaman.
Namun perkara yang perlu difokuskan adalah bagaimana manusia yang dilengkapi nikmat akal hendak menguruskan pelbagai informasi serta jaringan maklumat globalisasi yang kian rencam. Albert Einstein pernah menyebut bahawa satu hari nanti teknologi bukan memandaikan manusia bahkan membodohkan manusia.
Manusia itu dilahirkan bebas, hidup juga bebas dan kembali juga pada Tuhan-Nya dalam keadaan bebas. Kemerdekaan akal dan jiwa dalam menapis dan menganalisis maklumat perlu diguna dengan seoptimum mungkin.
Bukan senjata lagi yang perlu diangkat tetapi idealisme yang didasari ilmu. Kem tentera perlu diruntuhkan dan diganti dengan pusat pengajian.
Hujan peluru sudah wajib dihentikan, masa untuk menadah dan mengutip pula peluru-peluru hujah dan fakta. Oleh itu, manusia perlu memanfaatkan kemerdekaan berfikir dalam zaman yang menghasut ini.
HILAL AZMAN IDRIS penuntut jurusan sains politik UIA.