Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.” - Al-Baqarah: 148

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu Nabi menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan dukacita dan menyesal; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya."

Hadis and Firman Allah di atas seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar kita tidak memandang berat dan berkira terhadap keputusan menang-kalah di dalam perlumbaan di setiap kali muktamar.

Menang dan kalah di tangan Allah. Yang terpilih sepatutnya bimbang akan beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Yang tidak terpilih pula harus bergembira kerana Allah meringankan beban di akhirat.

Di dalam pemilihan parti Islam, pemilihan hanyalah adalah satu perlumbaan berganding tangan menentukan siapa duduk di barisan depan untuk memenangkan perjuangan Islam. Yang terpilih akan mendokong amanah dan yang tidak terpilih akan membantu dalam bahtera perjuangan agama Allah.

Umpama sebuah rumah, kayu terpilih diberi keutamaan menjadi pintu, manakala kayu-kayu lain dijadikan bahagian rumah yang lain-lain. Jangan pula kerana kedudukan pintu itu, kita mengganggap kerjanya yang mudah kerana ia di tempat lebih tinggi berbanding kaki rumah.

Tugas pintu sebenarnya amatlah besar daripada melindungi penghuni rumah sehinggalah menghalang pencuri, binatang, air hujan dan angin masuk ke rumah dari siang ke malam sepanjang masa tanpa rehat.

Namun, pintu tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dengan baik tanpa kayu-kayu lain yang membentuk bahagian rumah yang lain. Jangan pula kamu pandang hina pada tugas kaki rumah yang terpaksa memikul beban berat rumah dan memastikan rumah lasak meskipun dilanda banjir.

Oleh itu, di dalam pemilihan parti Islam tiada istilah gugur dalam perjuangan hanya kerana seseorang tidak terpilih melainkan seseorang itu memilih jalan tersebut. Yang ada hanyalah pertukaran tanggungjawab.

Namun, dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/ orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri (enggan menerima) maka baginda tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar.

Oleh itu, pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan parti untuk meneliti calon-calon dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi dan meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadangkan untuk menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya.

Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti walak kepada kepimpinan yang dipilih. Pelantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya “walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun”.

Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal walak akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang.

Rasulullah pernah memberi amaran antara lain mafhumnya “jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya.”

Saya berharap semangat keimanan ini terus tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

Hentikanlah bermain saraf menggunakan pelbagai cara termasuklah penggunaan media sosial tidak bernama mahupun bernama yang merosakkan jemaah. Di dalam Islam, helah ke atas musuh memang dibolehkan ketika perang, tapi bukan pemilihan sesama jemaah sendiri hanya demi mendapatkan undi.

Sebagai seorang ahli parti, saya menaruh harapan tinggi bahawa ahli-ahli PAS dapat kembali ke zaman di mana kemanisan dan keseronokan dapat dirasai bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti pun.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jemaah yang kita ada.

Oleh itu, ingatlah pada golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini yang sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihan raya.

Jangan hampakan mereka kerana perkelahian kita semata-mata jawatan. Musuh cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh.

Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa Saidina Umar al-Khattab:

“Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat di akhirat.”

Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita. Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita.


TUAN IBRAHIM TUAN MAN ketua penerangan PAS.

Lihat Komen
ADS