Most Read
Most Commented
Read more like this

Mantan bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim telahpun dibebaskan daripada penjara pada 2 September. Suatu keputusan di luar dugaan ramai. Banyak spekulasi timbul berikutan pembebasan beliau.

Ada yang mengatakan wujud pakatan sulit antara Anwar Ibrahin dengan perdana menteri iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan ada juga yang mengatakan kebebasan kehakiman yang membebaskan Anwar.

Spekulasi itu sebenarnya tidak penting. Yang penting bukan saudara Anwar sahaja tetapi kebebasan kehakiman itu adalah untuk semua rakyat. Jangan mengatakan sistem kehakiman kita telah bebas daripada kerajaan, kerana kes Anwar semata-mata.

Banyak lagi kes-kes yang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada mahkamah. Kes Anwar adalah satu daripada beribu-ribu kes di mana rakyat ditindas tetapi tidak mendapat perhatian mahkamah.

Setelah meringkuk dalam penjara Sungai Buloh selama enam tahun, Anwar kini bebas ke mana sahaja. Sudah menjadi lumrah bagi mereka yang bebas untuk kemana-mana sahaja.

Tetapi perlu diingat wahai saudara Anwar, ini baru satu permulaan untuk mencapai kemenangan untuk rakyat. Masih terdapat banyak lagi rintangan dan juga rintihan yang perlu dilalui untuk membebaskan rakyat yang tertindas.

Jangan cuba wahai saudara Anwar, lari daripada perjuangan. Ura-ura mengatakan Anwar Ibrahim akan masuk Umno telahpun sampai ke pelusuk kampung. Ini memberi kesan hebat kepada parti pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tertubuhnya parti ini adalah hasil daripada dua gabungan parti iaitu Parti Keadilan Nasional pimpinan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan juga Parti Rakyat Malaysia (PRM) pimpinan Dr Syed Husin Ali.

Walaupun baru diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan, parti ini sebenarnya mempunyai cahaya yang begitu cerah untuk memberi sumbangan kepada negara kerana parti ini bersifat pelbagai budaya, iaitu tidak mengamalkan sifat perkauman.

Semua jenis lapisan rakyat tidak mengira fahaman, agama dan bangsa, boleh bersama-sama dengan PKR. Tujuan dan matlamat PKR mempunyai 17 perkara menunjukkan adalah jelas bahawa parti ini mempunyai masa depan yang begitu cerah untuk golongan muda dan juga selaras dengan keadilan sejagat.

Dari segi kepimpinannya, juga begitu terserlah di mana ramai mereka yang begitu komited dengan perjuangan telah bersama-sama dengan PKR. Nama seperti Dr Syed Husin Ali, Tian Chua, Dr Sanusi Osman, Sivarasa Rasiah, Azmin Ali, Irene Fernandez, Dr Rohana Arifin adalah nama-nama yang begitu sinonim dengan perjuangan yang kental dan bersemangat.

Ia juga mempunyai ramai tokoh muda berkaliber dan bersemangat seperti Ezam Mohd Nor, Faizal Sanusi, Latheefa Koya dan ramai lagi. Jangan pisahkan mereka dengan PKR kerana nama-nama ini adalah pemangkin kepada parti untuk meneruskan era perjuangan untuk masa hadapan.

Mereka rela ditahan di bawah ISA dan semasa demontrasi jalanan, disembur dengan air gatal dan juga dipukul oleh FRU. Mereka ini tidak mempunyai kepentingan apa-apa, cuma semangat untuk berjuang itu sudah lama wujud dan muncul dalam jiwa masing-masing.

Tiba masanya bagi Anwar membina jentera PKR yang mantap dari segi organisasi dan juga ketahanan jiwa yang kental dan tabah. Mereka ini berhempas pulas untuk menggabungkan kedua-dua parti ini untuk menjadi satu supaya lebih kuat untuk menentang kezaliman.

Bukan hanya anggota parti sahaja, malah rakan seperjuangan yang lain juga harus diberi penghargaan yang begitu tidak ternilai, seperti NGO, para reformis jalanan dan juga orang perseorangan yang tidak mengenal penat dan lelah dalam memperjuangan konsep reformasi ini untuk menentang kezaliman.

Ramai yang mengatakan PKR adalah parti untuk membebaskan Anwar Ibrahim semata-mata dan juga akan dibubarkan seperti Parti Semangat 46. Parti ini akan lumpuh sekiranya Anwar bebas ataupun Anwar merengkuk didalam penjara untuk sembilan tahun lagi.

Pimpinan PKR harus menunjukkan kepada rakyat bahawa PKR bukan semata-mata untuk Anwar tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Walaupun Anwar sudah bebas tetapi masih banyak lagi agenda rakyat yang belum lagi selesai.

Maka PKR akan terus berada di arena arus politik negara.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS