Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Amaran Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak kepada penjawat awam untuk tidak membocorkan perbincangan mesyuarat Kabinet seperti isu kenaikan kadar tol adalah amat mendukacitakan.

Amaran itu seolah-olah menunjukkan bahawa maklumat tersebut dikategorikan sebagai rahsia dan tidak seharusnya diketahui oleh umum.

National Oversight and Whistleblowers (NOW) merasa kesal dengan kegagalan perdana menteri untuk menjalankan pentadbiran dan membuat keputusan secara telus dan terbuka.

Ini bukanlah kali pertama keputusan kerajaan mendapat kritikan seperti ini. Rancangan untuk melanjutkan had umur pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima bantahan yang hebat daripada rakyat.

Kerajaan seharusnya mengambil ikhtibar daripada peristiwa seperti itu. Pandangan rakyat harus dilibatkan sebelum membuat keputusan tergesa-gesa yang akhirnya gagal dilaksanakan atau gagal mencapai matlamat.

Perbincangan atau keputusan yang melibatkan rakyat seperti kadar tol tidak wajar diklasifikasikan sebagai rahsia.

Sebaliknya, kerajaan perlu mengadakan rundingan dan perbincangan terbuka agar rakyat faham dan jelas mengenai implikasi pelaksanaan sesuatu keputusan.

Kebocoran maklumat ini adalah bukan perbuatan khianat dan langsung tidak melibatkan isu keselamatan atau mengancam negara.

Sebaliknya, keputusan sulit kerajaan dalam isu yang melibatkan kesan secara besar terhadap rakyat inilah yang mengkhianati amanah rakyat.

Perdana menteri juga bertindak dengan tidak bertanggungjawab kerana menyalahkan penjawat awam ke atas kebocoran maklumat.

Tindakan ini menakut-nakutkan kakitangan kerajaan daripada berkongsi maklumat yang bermanfaat kepada rakyat dan seterusnya memburukkan nama baik institusi penjawat awam.

Persoalannya, adakah perdana menteri yakin bahawa maklumat tersebut tidak disebarkan oleh kalangan menteri kabinet sendiri?

Menteri tersebut mungkin tidak bersetuju dengan keputusan menaikkan kadar tol itu.

Kesimpulannya, kerajaan seharusnya lebih peka dengan kemajuan teknologi dan nilai-nilai keterbukaan yang dituntut oleh rakyat.

Rakyat berhak mengetahui proses merangka polisi dan dasar, mempunyai ruang untuk bersuara sebelum mencapai keputusan dan memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan dan akauntabiliti perlu dititikberatkan dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan rakyat.


AKMAL NASIR pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW).

Lihat Komen
ADS