Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan kerajaan BN memotong gaji 163,007 orang penjawat awam bagi membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak munasabah dan membawa implikasi negatif jangka panjang.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) percaya tindakan memotong gaji penjawat awam adalah selaras dengan saranan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan yang memberi desakan hebat agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang membuat pinjaman PTPTN.

Khairy yang juga ketua Pemuda Umno lebih cenderung menghukum penjawat awam mahupun orang muda. Beliau gagal melihat masalah ini dari sudut yang luas iaitu bayaran balik pinjaman PTPTN tidak memuaskan adalah disebabkan ketempangan sistem itu sendiri.

Beliau sepatutnya meneliti mengapa rakyat dipaksa membuat hutang bagi melanjutkan pelajaran dan mengapa terdapat elemen membuat keuntungan dalam pendidikan tinggi.

AMK berpendapat bahawa setiap rakyat berhak menerima pendidikan percuma. Mengikut pengiraan yang dibuat pada tahun 2013, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi menghapuskan PTPTN hanyalah RM24 bilion. Jumlah ini hanyalah separuh jika dibandingkan dengan hutang 1MDB yang dianggarkan lebih daripada RM42 bilion yang mana sehingga kini masih gagal dijawab oleh BN.  

Jelas terbukti kerajaan mengamalkan pilih kasih apabila menghukum peminjam PTPTN tanpa kompromi sedangkan begitu banyak ketirisan wang rakyat yang lain dibiarkan begitu sahaja.

Tekanan ekonomi rakyat kini memuncak sejak pelaksanaan GST. Harga minyak yang naik setiap bulan dan kadar tol juga diura-urakan akan naik melibatkan 12 lebuhraya utama. Ini akan memburukkan lagi tekanan kos sara hidup rakyat biasa. Adakah gaji yang diterima penjawat awam memadai untuk menanggung semua ini dan kini berdepan dengan potongan gaji?  

Jika Khairy dengan lantang boleh menggelarkan peminjam yang tidak membayar PTPTN sebagai mengkhianati perjanjian, beranikah beliau menuntut agar gaji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipotong sehingga hutang 1MDB dijelaskan terlebih dahulu?


AKMAL NASIR pengarah strategi AMK.

Lihat Komen
ADS