Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakyat pening dan keliru melihat kenyataan saling bercanggah antara Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkenaan kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia.

Ahmad Maslan menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca jatuhnya mata wang negara kita manakala Nazri pula berkata beliau gembira dengan kejatuhan mata wang kerana ia akan memajukan industri pelancongan.

Pemimpin Umno kini pening akibat diasak kiri dan kanan serta pergolakan dalaman parti sendiri. Adakah Ahmad Maslan terlupa bahawa nilai matawang Ringgit Malaysia mula jatuh semenjak penghujung tahun lepas?

Kritikan lantang dan serangan yang dilancarkan Mahathir pada PM Datuk Seri Najib Razak pula hanya bermula dengan agresif pada Mac tahun ini. Demi menjadi hulubalang untuk mempertahankan Najib, Ahmad Maslan sanggup memperlekeh Mahathir, negarawan yang merupakan veteran dan tokoh berjasa besar kepada Umno, parti mereka sendiri.

Nazri bergembira dengan kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia sedangkan impak dari kejatuhan ini amat besar kepada ekonomi tanah air kita yang tidaklah bergantung penuh kepada sektor pelancongan sahaja.

Saya merujuk kepada jawapan yang beliau berikan di dalam Parlimen, jumlah pelancong asing yang datang ke Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mac 2015 mengalami penurunan sebanyak 8.6 peratus berbanding tempoh yang sama bagi 2014.

Malaysia hanya mampu menarik pelancong dari China sebanyak 379,265 orang sedangkan Thailand yang mempunyai matawang lebih baik daripada Malaysia, pergolakan politik dalaman dan demontrasi besar-besaran telah berjaya menarik pelancong seramai dua juta orang ke negara tersebut.

Jadi, perasaan gembira yang dizahirkan oleh Nazri itu hanyalah ilusi dan palsu semata kerana secara realitinya industri pelancongan negara kita sedang merosot ketika ini.

Justeru, saya berharap para pemimpin Umno agar dapat berfikir dengan sebaiknya sebelum berkata kerana ia akan membuatkan rakyat pening melihat kecelaruan pemimpin bertaraf menteri di peringkat kerajaan pusat.

Pada zaman serba moden dan canggih ini, capaian maklumat lebih terbuka membuatkan rakyat tidak mudah percaya sahaja segala omongan kosong oleh pak menteri termasuklah resipi nasi goreng tanpa GST yang dihidang Ahmad Maslan.


DATUK MAHFUZ OMAR MP Pokok Sena.

Lihat Komen
ADS