Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya merasa terpanggil untuk memberikan reaksi terhadap surat Haron Din lebih layak jadi presiden PAS? yang ditulis oleh saudara Asrul Nizam baru-baru ini dalam laman berita popular ini.

Saya kurang bersetuju dengan pandangan beliau bahawa Dr Haron Din lebih layak menjadi Presiden PAS memandangkan Haron telahpun dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, maka beliau tidak sesuai menduduki Dewan Harian PAS.

Memang tidak dinafikan bahawa Haron popular di kalangan rakyat tetapi beliau masih boleh berperanan di tempat yang lebih tinggi sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, yang pada satu masa nanti, akan menggantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am.

Saya cuma mengharapkan agar kepimpinan PAS yang ada sekarang, dibersihkan daripada pemimpin yang bermasalah dan anti-pembaharuan dalam parti. Mereka ialah Timbalan Presiden Ustaz Hassan Shukri, Naib Presiden Mustapha Ali dan Ustaz Azizan Abdul Razak dan juga Ketua Dewan Ulama Harun Taib.

Hassan Shukri adalah seorang pemimpin veteran PAS yang tidak punya idea dan gagasan bagi memantapkan perjuangan parti, seiring dengan alaf baru yang lebih mencabar. Beliau menang jawatan Timbalan Presiden pun atas dasar kasihan belas para perwakilan kerana beliau adalah orang lama.

Menurut sumber saya, beliau sering menjadi penentang kepada idea-idea pembaharuan yang ditimbulkan ketika mesyuarat AJK PAS Pusat. Tambahan pula, beliau adalah seorang yang tidak patuh kepada keputusan Majlis Syura PAS Pusat sebelum pemilihan tahun lalu yang mahu jawatan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi memberi laluan kepada Haron.

Manakala Mustapha pula adalah seorang yang tidak membaca isyarat politik semasa. Ini adalah kes yang amat berat kerana beliau merupakan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat. Bacaan politik beliau didapati selalu gagal.

Contohnya, kita boleh lihat dalam kes pilihanraya kecil Kuala Berang baru-baru ini. Menurut sumber saya, keputusan mesyuarat AJK PAS Pusat adalah untuk ingin memboikot pilihanraya kecil Kuala Berang. Namun begitu, Mustapha, bersama pemimpin di Terengganu, memberi tekanan supaya PAS menyertai pilihanraya tersebut.

Akhirnya, kita mendapati PAS terus dimalukan dengan pertambahan majoriti kemenangan Umno. Di samping itu, Mustapha merupakan pemimpin yang mengenengahkan isu assobiyyah kenegerian dalam PAS.

Beliau selalu membanggakan diri bahawa pemimpin Terengganu lah yang paling hebat dalam mengatur perancangan politik. Hebat sangatkah beliau sehingga menyebabkan PAS kehilangan Terengganu?

Mengikut maklumat dalaman PAS, Ustaz Azizan juga sering membantah pandangan positif untuk menaikkan imej parti ketika mesyuarat AJK PAS Pusat. Dalam pada itu, beliau juga mengimpikan jawatan Menteri Besar Kedah jika PAS menang di Kedah tempoh hari.

Menurut sumber saya di PAS Kedah, di peringkat awalnya, Ustaz Taib Azzamuddin akan diletakkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang selamat kerana beliau memang sudah dikenal pasti akan kalah di kerusi parlimen Baling.

Namun begitu, Ustaz Azizan lah yang bertanggungjawab mencantasnya dengan mengekalkannya di Baling supaya sekiranya PAS menang di Kedah, hanya Ustaz Azizan seorang sahajalah calon yang layak menjadi menteri besar.

Pemimpin terakhir yang saya harapkan dapat digantikan dengan pemimpin lain ialah Harun Taib. Beliau adalah pemimpin yang bersifat 'garis keras' (hardliner) yang mengagungkan idea-idea lama sahaja. Beliau menganggap golongan Abim,dan JIM dalam PAS sebagai golongan pengacau.

Ini amat difahami kerana dua golongan tersebut mahukan imej dan strategi parti yang dinamik dan progresif di atas sifat PAS sebagai parti politik dan bukannya badan NGO dakwah.

Saya amat mengalu-alukan kenyataan dan ucapan Salahuddin Ayub dan Mujahid Yusuf Rawa yang mahukan perubahan imej dan strategi parti tanpa menggadaikan prinsip perjuangan parti.

Saya juga mengharapkan agar pemimpin PAS tidak lagi bersikap jumud (beku) yang menyempitkan pandangan ahli di peringkat akar umbi. Majlis Syura PAS janganlah terlampau asyik hendak menghukum sahaja - ini yang menyebabkan golongan atas pagar menjauhkan diri dari PAS.

Rakan-rakan Cina dan India saya, ketika ditanya tentang persepsi mereka terhadap PAS, mengatakan bahawa PAS baik tetapi mereka masih lagi bimbang sekiranya PAS berjaya memerintah Malaysia kerana beranggapan kerja PAS hanyalah menghukum orang sahaja.

PAS sebagai sebuah parti politik yang bercita-cita besar, harus pandai membaca isyarat semasa.

Bagaimana anda mahu menjemput orang ramai datang ke rumah anda sedangkan pada masa yang sama, anda menutup pintu pagar. Dan anda memberitahu orang ramai yang hendak ke rumah anda itu bahawa di rumah anda 'ni tak boleh, tu tak boleh' Fikir-fikirkanlah.

ADS