Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Ulama PAS membantah keputusan kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari Khamis lepas.

Menurut kenyataan menteri sumber manusia pada November 2014, seramai 6.7 juta orang warga asing sudahpun berada di negara ini dan hanya 2.1 juta daripadanya memegang pas lawatan kerja sementara.

Jika ditambah pula dengan kemasukan baru berjumlah 1.5 juta warga Bangladesh sudah pasti akan memberi implikasi kurang baik terhadap struktur sosial dan pemilikan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan.

Dalam keadaan kadar pengangguran rakyat Malaysia meningkat kepada 3.2 peratus pada awal tahun ini, amat tidak wajar untuk keputusan ini dilaksanakan.

Sepatutnya kerajaan memantapkan polisi untuk menambah bilangan pekerja tempatan sesuai dengan penyediaan peluang-peluang pekerjaan seperti yang telah diumum oleh perdana menteri dalam Bajet 2015 dan RMK11.

Pengambilan masuk warga asing ini juga memperlihatkan seolah-olah kerajaan juga tidak yakin dengan agenda-agenda yang telah digariskan dalam “The National Graduate Employability Blueprint (GEB) 2012-2017” boleh berjaya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk memenuhi permintaan ekonomi sedangkan sejumlah dana telahpun diperuntukkan untuknya.

Kejadian jenayah melibatkan warga asing juga banyak berlaku sehingga mengundang rasa terancam warga tempatan walaupun ia dikatakan kurang 10 peratus daripada keseluruhan kes jenayah yang berlaku. Penularan penyakit berjangkit seperti malaria dan tibi juga sangat membimbangkan.

Oleh itu, Dewan Ulama mendesak supaya perjanjian yang akan ditandatangani antara Kuala Lumpur dan Dhaka yang dijadualkan berlangsung pada Julai akan datang dibatalkan.

Perkara ini perlu dibawa dan dibahas dengan teliti terlebih dahulu di Parlimen dalam sidang yang akan datang seperti yang didesak oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mengatakan bahawa Kerajaan akan membawa keluar dahulu 2 juta pendatang asing yang bekerja secara haram di negara ini sebelum membawa masuk 1.5 warga Bangladesh untuk bekerja secara sah di negara ini.

Ini dilihat tidak lebih daripada kenyataan untuk menyelamatkan diri. Sedangkan umum mengetahui bahawa isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak pernah selesai pun sebelum ini apatah lagi untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Dewan Ulama juga ingin berkongsi kebimbangan kemungkinan bahawa pengumuman pengambilan masuk 1.5 juta warga Bangladesh ke Malaysia yang disusuli dengan pengumuman keputusan Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan daripada tarikh yang dijadualkan pada tahun hadapan.

Adakah ini sebahagian daripada persiapan Umno/BN untuk menghadapi dan memenangi PRU14 akan datang?


DATUK MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS dan NO Kuala Nerus .

Lihat Komen
ADS