Most Read
Most Commented
Read more like this

Pemilihan Umno telah selesai dengan menyaksikan majoriti ahli Majlis Tertinggi dan naib presiden Umno dikuasai oleh juak-juak Najib Razak yang dibayangi oleh pengaruh Dr Mahathir Mohamad.

Manakala Khairy Jamaluddin telah diejek ketika namanya diumumkan sebagai penjawat jawatan naib ketua Pemuda Umno. Ini dapat difahami kerana majoriti perwakilan pemuda adalah juak-juak Hishammuddin Hussien yang menyokong sepupunya Najib.

Mahathir terus diingati apabila anak kesayangannya Mukhriz dipilih dengan undi tertinggi sebagai ahli exco Pemuda Umno.

Saya menganggap Abdullah Ahmad Badawi sekarang dalam keadaan tertekan membilang hari sebagai perdana menteri memandangkan pemilihan majoriti juak-juak Najib dalam MT menghasilkan impak yang akan menggugat kedudukan beliau sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

Abdullah akan mencipta rekod sebagai perdana menteri paling sekejap dalam sejarah Malaysia moden iaitu selama satu penggal sahaja.

Dalam pada itu, Abdullah tentulah akan cuba mematahkan taring musuh-musuhnya terutama sekali Najib dengan lebih hebat lagi selepas ini. Maka kita sebagai rakyat marhain akan berpeluang menyaksikan peperangan besar untuk kesekian kalinya dalam Umno dalam masa terdekat ini.

Abdullah sebagai perdana menteri akan menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan demi memastikan Najib tidak kesampaian dalam usaha untuk merampas takhtanya.

Sejurus selesai saja perhimpunan agung ini, Abdullah akan mengatur strategi bersama menantu kesayangannya Khairy untuk memusnahkan Najib dan bayangan Mahathir dari kamus politiknya. Khairy tentunya terpaksa bekerja keras lagi selepas ini setelah dia telah berjaya menyudahkan teks ucapan dasar Abdullah.

Ucapan dasar Abdullah yang banyak menyentuh tentang Islam Hadhari tajaannya pasti gagal kerana Umno adalah ibarat gelanggang sarkas yang dipenuhi dengan 'binatang buas'. Bagaimana mungkin binatang-binatang buas seperti ini yang hanya memikirkan untuk memenuhi perut semata-mata melalui projek-projek anugerah kerajaan dapat memahami isi-isi ucapan dasar yang sebegitu lunak?

Abdullah sebagai 'ring master' pasti gagal kerana dia tidak mempunyai 'tali cepati' untuk memukul binatang-binatang buas tersebut. Tali cepati itu masih dimiliki oleh Mahathir yang amat marah terhadap Abdullah kerana berani mendakwa Eric Chia dan melepaskan Anwar Ibrahim daripada penjara Sungai Buloh.

Justeru, istilah yang dipopularkan oleh Abdullah ketika mula masuk Pejabat Perdana Menteri iaitu 'bekerja bukan untuk saya tetapi bersama-sama saya' secara realitinya ialah 'kerja bersama Abdullah untuk majikan lama iaitu Mahathir'.

Mungkinkah politik Malaysia yang tidak pernah surut dari peperangan ini hasil daripada dosa-dosa negara - pembahagian kekayaan negara yang tidak adil, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa?

ADS