Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tenaga nuklear telah dikenal pasti sebagai satu lagi sumber tenaga yang akan diguna pakai ci Malaysia.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) berpendapat bahawa penglibatan pihak-pihak berkepentingan yang lebih efektif perlu dilaksanakan kerana pembangunan tenaga nuklear bukanlah satu isu yang mudah.

Sejumlah RM76,627,219 telah diperuntukkan bagi Tenaga Nuklear Malaysia di antara tahun 2011 dan 2015. Apakah hasil yang telah dicapai melalui peruntukkan ini? Di manakah laporan 'kajian' yang berkaitan?

 

Sejak tahun 2012, AWER sudah berulang kali mengutarakan tujuh isu utama berkaitan penggunaan tenaga nuklear tetapi pihak kami tidak menerima sebarang jawapan yang memuaskan sehingga kini.

1. Dasar campuran tenaga

Dasar jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang mesti digariskan dengan jelas dan diumumkan untuk pengetahuan umum

Uranium, plutonium dan thorium merupakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui dan juga akan kehabisan suatu hari nanti.

Oleh itu, nuklear mungkin bukan satu jalan penyelesaian yang sebenar. Mungkin ia hanya boleh membantu Malaysia dalam pengurusan campuran tenaga jangka pendek.

Kekurangan inisiatif Kecekapan Tenaga juga menunjukkan pengurusan permintaan ( demand side management ) yang lemah di sektor tenaga elektrik.

 

2. Dedah lokasi loji

Ini termasuk semua lokasi yang berkemungkinan menjadi tapak loji. Ia akan membolehkan perbincangan awam yang lebih teliti mengenai isu-isu yang berkaitan dengan loji tenaga nuklear.

Penerimaan orang ramai terhadap penggunaan nuklear untuk tenaga mesti dilakukan secara telus dan bukannya perundingan secara kosmetik.

 

3. Pelan tindakan kecemasan

Kebocoran  'boiler tube ' dalam beberapa loji janakuasa arang batu menyebabkan bekalan tenaga elektrik di beberapa negeri terputus pada Mei 2014.

Malah, kerangka kawal selia sektor penjanaan elektrik negara kita telah gagal sepenuhnya. Namun, pakar nuklear sentiasa mendakwa bahawa nuklear adalah selamat.

Jika ia adalah selamat, mengapakah berlakunya kebocoran? Maka, laporan insiden kebocoran mesti dilaksana secara telus dan jelas kepada orang ramai.

Malapetaka Fukushima pada tahun 2011 telah merosotkan keyakinan pelbagai pihak terhadap teknologi nuklear secara mendadak dan mendedahkan pemesongan fakta ( dark side ) dalam 'ketelusan' laporan insiden nuklear. Apakah dasar yang Malaysia sedia ada untuk menangani kejadian seperti ini?

 

Isu 4: Kos penutupan operasi

Ia adalah satu lagi kos yang sering diabaikan di mana generasi masa depan perlu menguruskannya

Undang-undang dan peraturan-peraturan yang semakin ketat untuk pelupusan sisa nuklear dan bahan-bahan yang berkaitan akan menyebabkan peningkatan mendadak dalam kos penutupan operasi loji tenaga nuklear.

Malangnya, agensi-agensi kerajaan masih mendakwa penggunaan tenaga nuklear adalah lebih kos efektif tanpa memberikan sebarang bukti. Isunya, siapa yang akan menanggung kos penutupan operasi loji tenaga nuklear sebegini?

 

Isu 5: Modal insan

Pekerja yang berkebolehan untuk menguruskan loji tenaga nuklear adalah penting

Banyak laporan juga telah menunjukkan bahawa kebocoran atau insiden nuklear adalah sangat berkaitan dengan kesilapan manusia.

Apakah perancangan Malaysia untuk membangunkan kepakaran sedemikian? Graduan sains nuklear sahaja tidak cukup untuk menguruskan loji tenaga nuklear.

 

Isu 6: Pelupusan sisa nuklear

Ini merupakan adalah ibu kepada semua isu-isu yang berkaitan dengan nuklear.

Sisa nuklear dari loji tenaga mesti didepositkan ke dalam kemudahan simpanan sisa secara selamat. Oleh itu, kos dan keselamatan kemudahan penyimpanan sisa nuklear adalah kebimbangan utama dari segi impak alam sekitar.

Apakah unjuran kos kemudahan penyimpanan sisa dan impaknya kepada tarif? Bagaimana pula dengan kebocoran daripada kemudahan simpanan sisa ini yang disebabkan oleh bencana alam?

 

Isu 7: Kadar tarif e lektrik

Adakah kadar yang murah dari tenaga nuklear satu realiti? Bagaimanakah Malaysia boleh mengenakan tarif elektrik yang murah melalui tenaga nuklear apabila terdapat begitu banyak isu perlu diambil kira dalam kos penjanaan?

Kos penjanaan tenaga elektrik daripada nuklear dijangka meningkat akibat desakan dalam perlindungan alam sekitar daripada sisa nuklear.

 

Kajian AWER

 

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (National Energy Security Survey-NESS) untuk mewujudkan data asas mengenai isu-isu berkaitan tenaga. 

Rangka sampel yang digunakan adalah maklumat senarai Blok Penghitungan (BP) Tempat Kediaman (TK) yang dikemaskini maklumat daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2010.

Sampel ini dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Kami telah bertanya kepada responden sama ada mereka akan menyokong tindakan kerajaan untuk membina loji tenaga nuklear berhampiran dengan kawasan kediaman mereka dan mendapati 90.52 peratus rakyat Malaysia membantah tindakan kerajaan untuk membina loji tenaga nuklear berhampiran dengan kawasan kediaman mereka.

Selangor merekodkan bantahan tertinggi iaitu 97.70 peratus diikuti Kuala Lumpur (97.04 peratus) dan Pulau Pinang (96.38 peratus). Sokongan tertinggi untuk pembinaan loji tenaga nuklear adalah di Sarawak (17.43 peratus) diikuti oleh Sabah (15.79 peratus) dan Labuan (14.80 peratus).

Jadual di bawah menunjukkan pecahan respon mengikut negeri.

 

Negeri Sokong Bantah
Johor 11.18% 88.82%
Kuala Lumpur 2.96% 97.04%
Kedah 12.17% 87.83%
Kelantan 9.54% 90.46%
Labuan 14.80% 85.20%
Melaka 6.91% 93.09%
Negeri Sembilan 5.59% 94.41%
Pulau Pinang 3.62% 96.38%
Pahang 13.49% 86.51%
Perak 7.89% 92.11%
Perlis 12.83% 87.17%
Putrajaya 4.28% 95.72%
Sabah 15.79% 84.21%
Sarawak 17.43% 82.57%
Selangor 2.30% 97.70%
Terengganu 10.86% 89.14%
Jumlah 9.48% 90.52%
 

Apabila responden ditanya sama ada kerajaan memberikan maklumat yang mencukupi mengenai cadangan untuk membina loji tenaga nuklear, 91.47 peratus rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan tidak memberikan maklumat yang mencukupi.

Selangor merekodkan respon tertinggi (98.68 peratus) dalam menyatakan maklumat yang diberikan oleh kerajaan adalah tidak mencukupi diikuti Kuala Lumpur (97.70 peratus) dan Pulau Pinang (96.38 peratus).

 

Berdasarkan penilaian-penilaian dan isu-isu yang diutarakan oleh AWER, Kerajaan Persekutuan mesti menjalankan pelaksanaan pembangunan tenaga nuklear di Malaysia dengan telus.

Tahap keyakinan yang sangat rendah ke atas projek loji tenaga nuklear adalah berkadar langsung dengan pembangunan tenaga nuklear secara rahsia di Malaysia.

Maka, AWER menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menangani tujuh isu ini sebelum meneruskan hasrat untuk membina loji tenaga nuklear di Malaysia.

 


S PIARAPAKARAN presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Lihat Komen
ADS