Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

JINGGA 13 mengecam tindakan kerajaan  menaikkan harga minyak 10 sen bg RON95 dan 20 sen bg RON 97 setelah memberikan bonus sebanyak RM500 kepada kakitangan awam.

Tindakan menaikkan harga minyak ini seolah-olah galang ganti sebagai menampung kembali pemberian bonus tersebut.

Namun kesannya tetap ditanggung oleh rakyat, yang turut merasai kesan kejatuhan nilai ringgit.

Tindakan ini menimbulkan persoalan memandangkan harga minyak mentah dunia dalam trend menurun.

Malah rakyat sudah pun terbeban dengan kenaikan harga barang dan GST. Rakyat terpaksa membayar harga yang mahal akibat urus tadbir kerajaan yang lemah dan kegagalan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

JINGGA 13 juga mempersoalkan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek bahawa kerajaan tidak akan lagi mengumumkan harga baru petrol pada hari terakhir setiap bulan.

Menurut Hasan, pengguna sebalimnya hanya akan mengetahui harga baru sama ada berubah atau kekal pada tengah malam.

Jika sebelum ini kerajaan akan memaklumkan terlebih dahulu melalui media beberapa hari sebelum kenaikan minyak dibuat, mengapakah sekarang ini pihak kerajaan cuba untuk berbuat sebaliknya?

Adakah ianya polisi baru yang diamalkan oleh kerajaan sebagai cara untuk melepaskan diri daripada berhadapan dengan bantahan rakyat?

Rakyat juga perlukan penjelasan memandangkan tindakan kerajaan dilihat semakin merugikan rakyat dari sehari ke sehari.

Ia juga dilihat memberikan tekanan serta kesan negatif khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin berikutan kenaikan tersebut.

Lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam berdepan dengan Ramadhan dan persiapan menyambut Idul Fitri.

JINGGA 13 juga menyokong penuh rancangan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian untuk mewujudkan Tabung Penstabilan Harga Minyak di Parlimen dalam sesi akan datang.

Ini kerana kewujudan Tabung Penstabilan Harga Minyak tersebut adalah berkaitan dengan kebajikan rakyat.


FARIZ MUSA ketua koordinator JINGGA13 Malaysia.

Lihat Komen
ADS