Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pilihan raya umum ke-13 yang lalu merupakan petunjuk jelas harapan rakyat yang mahu melihat Malaysia ditadbir oleh sebuah kerajaan yang lebih baik sekali gus menamatkan era pemerintahan fasis BN.

Hal ini juga terbukti secara fakta apabila graf pencapaian BN dalam pilihan raya umum semakin merudum dari tahun ke tahun biarpun pelbagai langkah popular dilakukan untuk meraih semula kepercayaan pengundi.

 

Namun polemik demi polemik yang melanda Pakatan Rakyat membunuh harapan rakyat yang ingin melihat sebuah kerajaan yang lebih baik.

Anak muda berasa mual melihat parti yang kononnya berpakat, tetapi gagal mengurus ego lantas memberi talian hayat kepada kerajaan minoriti BN.

Melihat kepada isu ekonomi yang terus mencekik kehidupan rakyat, krisis kepimpinan negara yang dihimpit skandal dan korupsi, serta kesenjangan sosial yang masih tidak bebas daripada politik perkauman.

Mmaka anak muda hari ini melihat perlunya sebuah gabungan inklusif yang akan memimpin perjuangan menegakkan cita-cita rakyat.

Oleh itu anak muda kami ingin mendesak agar parti pembangkang segera membentuk gabungan yang baru demi meneruskan cita-cita rakyat.

Parti-parti pembangkang perlu konsisten dalam menjadikan harapan rakyat sebagai fundamental kerjasama, seterusnya memangkas perbezaan dan memberi tumpuan untuk merealisasikan perubahan.

Gabungan yang baru ini perlulah lebih kemas dengan dipandu terma-terma rujukan yang lebih jelas.

 

Melihat kepada kepincangan jalinan kerjasama yang terbentuk dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, anak muda ingin mencadangkan supaya prinsip berikut mesti dimasukkan sebagai teras penting kepada pembentukan gabungan yang baru:

i. Gabungan ini mestilah berkerja berteraskan polisi bersama yang disepakati. Polisi tersebut mestilah menjulang cita-cita rakyat sebagai asas kerjasama.

Setiap Parti yang menyertai gabungan perlu bersedia untuk meletakkan polisi bersama ini sebagai prioriti yang perlu diutamakan.

ii. Setiap parti perlu bersedia untuk meletakkan kepentingan parti sebagai perkara kedua sekiranya bertembung diantara kepentingan parti dan kepentingan gabungan.

Hal ini bagi memastikan tidak wujud lagi tindakan esoterik parti tertentu yang boleh menggugat kestabilan gabungan.

iii. Menjadi kewajipan setiap parti untuk memastikan gabungan terus kuat dan utuh.

Setiap keputusan yang dibuat diperingkat gabungan perlulah melalui proses konsolidasi bagi mencapai persepakatan bersama.

 

Anak muda juga melihat gabungan baru yang bakal dibentuk ini perlu melibatkan sebanyak mungkin pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan.

Pemikiran lama yang mengatakan pemimpin tahu segalanya sudah terlalu tua untuk diamalkan dalam politik kontemporari. Hal ini juga bagi menyahut saranan banyak pihak yang menyifatkan gabungan pembangkang akan lebih kuat dengan sokongan dan kerjasama NGO.

Oleh itu, anak muda mencadangkan supaya diadakan sesi pertemuan diantara parti-parti pembangkang dan juga anak muda dalam masa 14 hari dari sekarang.

Anak muda percaya adalah menjadi keperluan mendesak untuk gabungan baru ini ditubuhkan segera.

 


DEMI MALAYSIA merupakan kumpulan perbincangan meja bulat anak muda yang berlangsung 28 Jun lalu.

Lihat Komen
ADS