Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pendedahan yang dibuat oleh akhbar The Wall Street Journal (WSJ) mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat yang menuntut agar siasatan dan penjelasan dibuat terhadap tuduhan tersebut.

Laporan itu mendakwa terdapat dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang berkaitan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak

Namun, kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini bahawa polis akan menyiasat WSJ di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 kerana mendedahkan maklumat ini adalah amat mendukacitakan.

Siasatan ini seperti ingin mengalih perhatian daripada persoalan utama iaitu samada RM2.6 bilion telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib.

Sebaliknya, tindakan pantas IGP untuk menyiasat bagaimana dokumen tersebut boleh bocor adalah seolah-olah beliau lebih berminat untuk mencari kesalahan pemberi maklumat iaitu WSJ sedangkan siasatan terhadap 1MDB mahupun Datuk Seri Najib Razak sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Justifikasi yang diberikan oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa pendedahan dokumen ini boleh mengancam ekonomi negara dan membawa kepada sabotaj ekonomi negara adalah tidak masuk akal.

Malah, rakyat sepatutnya berterima kasih kepada WSJ yang mendedahkan kepincangan 1MDB yang wajar diberi tumpuan untuk mengelakkan lebih banyak ketirisan berlaku.

Ini bukanlah kali pertama pihak berkuasa memberi tekanan terhadap pemberi maklumat tetapi intimidasi terhadap agensi antarabangsa seperti WSJ hanya merendahkan integriti polis dan memalukan negara.

National Oversight and Whitsleblowers (NOW) ingin mengingatkan pihak berkuasa agar menumpukan siasatan kepada perkara utama dan berhenti daripada mencari jalan untuk menghukum pemberi maklumat.


RAFIZI RAMLI pengarah eksekutif NOW dan MP Pandan.

Lihat Komen
ADS