Most Read
Most Commented
Read more like this

Tanggal 2 September 2004, kira-kira jam 10.30 pagi, SMS pertama daripada berbelas-belas lagi yang diterima berbunyi: 'Alhamdulillah! Anwar bebas'. Percaya dengan tidak, sebak, sedih, gembira bercampur baur. Memang diakui semangat reformasi kian luntur kabur hala tujunya.

Apatah lagi selepas Barisan Alternatif (BA) tewas teruk dalam pilihanraya lepas. Tetapi SMS ringkas itu seolah-olah kembali menyuntik semangat, meresap seluruh urat saraf, Nostalgia enam tahun lampau menyelinap ke seluruh batang tubuh.

Bermula episod pemecatan Anwar, lereng Jalan Setiamurni menjadi bukti betapa kebenaran itu pasti terjawab. Setia kita kepada semangat keadilan sejagat semakin jelas. Malaysia maju bererti Malaysia yang mendukung rakyatnya yang dahagakan kemajuan diagihkan secara adil dan saksama, undang-undangnya tidak memihak, bersatu bukan di bawah nilai Ringgit Malaysia.

Rentetan dari cerita itu, maka bermulalah gelombang kebangkitan rakyat. Dari Bukit Damansara melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, Masjid Kampung Baru, Dataran Merdeka, meriah dengan semburan pemedih mata di depan Istana Negara, dihambat lagi di Jalan Kebun, hinggalah ke Cerok Tok Kun, Kemunting dan Sungai Buluh.

Sanggup bermandi peluh, adakalanya bermandi darah, berkejaran mengelak belantan dan asakan perit gas pemedih mata (polis) FRU. Majalah, buku, kaset, VCD berlawanan kerajaan berlambak dijual. Kes rampasan pun mula bertimbun. Manakala lamanweb juga bercambah hebat. Mereka bangkit atas kesedaran suci tanpa dibayar sesen pun.

Kini segalanya bagai ternoktah, atau sebenarnya baru pun bermula. Dulu, saban malam bersama rakan-rakan berasak sesak memanjat lereng bukit rumah Anwar selepas beliau dipecat tanda simpati. Kini, ada antara rakan-rakan sudahpun berkahwin dan beranak tiga. Saya juga baru saja berkahwin.

Pernah dulu, tiga tahun selepas itu, saya melawati Jalan Setiamurni melepaskan rindu pada Anwar. Lengan sepi.

Tetapi pada malam 2 segalanya terpercik kembali, episod enam tahun lampau berulang lagi. Datang bersama isteri tercinta, dan bercerita tentang sejarah lereng bukit ini.

Orang terlalu ramai, kami terpaksa balik awal. Keesokan hari, selepas solat Jumaat, diberitahu orang tidak ramai kecuali wartawan. Kami terus ke rumah beliau. Alhamdullilah saya berkesempatan besalaman dengannya dan membisikkan 'Teruskan Dato' Seri'.

Ramai juga berbaris menunggu peluang menatap, bersalaman, kalau boleh memelukcium wira rakyat ini. Letih, sedikit susut, namun penuh semangat.

Ada perjanjian tawar menawar atau tidak, itu bukan soalnya. Hanya beliau dan Pak Lah saja yang tahu agenda itu. Terpulanglah. Umumnya, Anwar telah bebas, bebas dengan pelbagai spekulasi, kaitan sebab dan musabab. Anwar telah mencetus gelombang kebangkitan rakyat.

Suatu 'aura' luar biasa yang jarang dimiliki orang lain. Hebat! Kalau Dr Mahathir boleh bina kota Putrajaya dengan kuasanya, tetapi percayalah Dr Mahathir tidak mampu mendatangkan semangat halus rakyat marhain membanjiri Dataran Merdeka tanpa bayaran atau konsert percuma.

Ini salah satu daripada kebolehan dan kehebatan Anwar. Satu Malaysia, mungkin seluruh dunia mengakui kehebatan beliau. Rintislah, wajib perjuangan ini mesti diteruskan. Kesan pedih sepanjang tempoh itu masih dirasai. Esak tangis kakak reformis teringial-ngial terbaring di atas jalanan bila ditarik sesuka hati.

Pedih mata, parah sepak terajang terut berdunyutan. Andainya Anwar meneruskan perjanjian sumpah perjuangannya enam tahun lampau, mungkin kesakitan ini sedikit reda. Biarlah birat lebam ini tersimpan untuk anak cucu sebagai bukti perjuangan menuntut keadilan, hak dan kebebasan.

Majulah, bersatulah umat Melayu. Bukan di bawah terang lampu korupsi, tetapi di bawah bumbung semangat Melayu jati, ada sopan santunnya, budayanya bertunjangkan Islam.

Anwar wajib membuka sejarah baru umat Melayu Malaysia. Sejarah yang akan dinilai suci oleh anak cucu kita. Kebangkitan ini sewajibnya diteruskan dengan apacara sekalipun demi mereka pewaris kita.

Supaya mereka tahu, mereka faham dan mengerti bahawa kita sayangkan mereka. Kita bukan penggadai maruah bangsa, kita takkan jual Tanah Melayu ini. Kita mahu Merdeka sekali lagi!

ADS