Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Latih warga tempatan sertai industri automotif

Industri automotif mempunyai potensi yang cukup tinggi di negara kita. Rata-rata semua orang suka memiliki kenderaan sendiri malah ada isi rumah memiliki dua atau tiga buah kereta.

Sudah menjadi adat anak-anak muda kita membeli kereta sebaik sahaja mendapat satu pendapatan yang sederhana.

Apabila kemampuan meningkat, citarasa juga turut berubah. Kecenderungan untuk memiliki kenderaan mewah akan timbul apabila pendapatan telah meningkat dan kemahuan untuk menikmati keselesaan dan gaya hidup yang unggul.

Semua ini membuktikan bahawa industri automotif boleh berkembang maju di negara kita. Kita juga maklum bahawa jumlah kenderaan terutamanya kereta semakin meningkat. Jika kita bandingkan 10 tahun yang lalu dan sekarang, kita dapat melihat perbezaan yang cukup banyak dan nyata.

Potensi dalam industri automotif harus diberi perhatian oleh kerajaan. Industri ini mampu menyediakan ribuan peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Kerajaan harus mewujudkan lebih banyak program untuk melatih tenaga kerja mahir dan separa mahir bagi industri automotif ini.

Setakat ini, kerajaan bersama Malaysia Automotive Institute (MAI) telah memperkenalkan beberapa program seperti Industrial Professional Certification, Automotive Industry Certification Engineering Program.

Selain itu ada juga program Customized Human Capital Development Program, Automotive Apperentticeship Programme for Aftermarket dan sebagainya. Namun industri ini mempunyai potensi lebih tinggi.

Kerajaan harus memberi galakan yang lebih kepada anak-anak muda kita untuk memilih sektor ini. Pada masa ini minat di kalangan anak-anak muda  kita masih rendah dalam bidang automotif.

Mereka lebih berminat kerja kolar putih walaupun pendapatan tidak seberapa. Peranan ibu bapa juga adalah penting dalam memberi pedoman kepada anak-anak mereka dalam memilih bidang kerja yang mempunyai masa hadapan yang cerah.

Maka kita harus melatih pekerja kita sendiri dalam industri automotif untuk menggantikan pekerja asing.

Setiap pemilik kenderaan akan menghadapi masalah kerosakan pada kenderaan tersebut, pasti ada haus dan lusuh. Kenderaan perlu diservis dalam tempoh tertentu, kemalangan berlaku setiap hari.

Kerja-kerja kimpalan dan cat, servis penghawa dingin, pelekat cermin gelap, bermacam-macam aksesori kenderaan,  penggantian tayar dan sebagainya adalah antara kerja-kerja harian yang mempunyai potensi tinggi.

Industri ini boleh menghasilkan banyak peluang pekerjaan jika dirancang, diatur dan distrukturkan dengan baik.


V SIVAKUMAR MP Batu Gajah dan timbalan pengerusi DAP Perak.

Lihat Komen
ADS