Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya tertarik dengan surat kiriman Kelantan71 yang mempertahankan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kelantan71 seperti taksub kepada kepimpinan PAS dan juga tidak boleh menerima kritikan orang lain, tambahan lagi dari parti pembangkang sendiri seperti Parti Keadilan Rakyat.

Tetapi Kelantan71 tidak menafikan adanya pertemuan diantara PAS dan Umno untuk berbincang tentang petisyen pilihanraya lepas. Mengapa perlu ada perbincangan? Kenapa tidak didedahkan? Ataupun mesti ada apa-apa pakatan sulit oleh pimpinan PAS Kelantan supaya negeri ini tidak kembali kepada Umno?

Keputusan yang dicapai oleh kedua-dua pihak itu, banyak mempengaruhi keputusan mahkamah, sepertimana diduga oleh segelintir parti pembangkang. Dengan itu, PAS sendiri telah mengiktiraf Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai sebuah badan bebas.

Sedangkan selepas pilihanraya lalu, PAS begitu kuat mempertikai keputusan pilihanraya, dengan mendakwa wujudnya pengundi hantu dan juga tipu helah SPR dalam mengendalikan pilihanraya tersebut.

Kalau ketika Dr Mahathir Mohamad memerintah Malaysia selama 21 tahun, ramai yang mempersoalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, malah ada mengatakan beliau adalah Perdana Menteri paling lama di dunia selepas Presiden Indonesia iaitu Suharto.

Kenapa rakyat tidak boleh mempersoalkan kedudukan Nik Aziz? Kerana Nik Aziz memerintah berlandaskan Islam kerana itu beliau boleh duduk kerusi Menteri Besar sehingga akhir hayat? Adakah begitu?

Kenapa Faizal Sanusi dan juga Ezam Mohd Nor dipersalahkan? Ingin dijelaskan di sini bahawa adalah satu bonus bagi Parti Keadilan Rakyat jikalau ramai orang seperti Mohammad Mustapha keluar dari Keadilan.

Mereka inilah yang akan merosakkan parti dan juga perjuangan rakyat yang lain. Jikalau dilihat dari segi mata kasar, jiwa Mohammad Mustapha adalah PAS bukannya Parti Keadilan Rakyat.

Kebencian kepada mana-mana parti, bukan asas kukuh untuk keluar dari Keadilan. Tidak dinafikan lagi, semua parti di Malaysia ini berlandaskan kepada perjuangan rakyat. Jikalau dilihat perlembagaan Umno, mahupun PAS, kesemuanya untuk perjuangan rakyat, tetapi manusia di dalam parti yang harus dipersalahkan, bukannya parti tersebut.

Untuk pengetahuan saudara, Parti Rakyat Malaysia adalah sebuah parti yang jelas perjuangannya. Tidak timbul masalah sekular mahupun sosialis. PRM berjuang mengikut peredaran zaman dan juga peredaran masa, sesuai dengan suasana dan perjuangan rakyat.

Walaupun sebuah parti yang kecil tetapi ia mampu bersaing di arena suasana politik Malaysia. Untuk pengetahuan saudara, PRM tidak pernah menjadi Parti Buruh tetapi pernah sama-sama berjuang dengan Parti Buruh. Seperti PAS di masa dahulu yang juga pernah bersama-sama Umno membentuk kerajaan pada era 70-an.

ADS