Most Read
Most Commented
Read more like this

Beberapa hari sebelum konsert Scorpions diadakan baru-baru ini, telah tersebar SMS yang mengajak semua pemuda PAS untuk berkumpul di ibu negara untuk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penganjuran konsert Scorpions. Jauh di dalam hati saya, mengatakan setuju dan tidak setuju, tetapi tiada bantahan.

Setuju konsert tersebut sepatutnya tidak patut diluluskan permitnya, tidak setuju cara PAS untuk mengadakan perhimpunan bantahan secara aman.

Pemuda PAS Pusat mengambil pendekatan Pemuda PAS Negeri Sembilan baru-baru ini dalam usaha menangani gejala sosial, di mana mereka telah menggunakan pendekatan ramah mesra dalam satu aktiviti pengedaran risalah pada golongan muda mudi di Dataran Senawang yang menjadi tumpuan pasangan mencari hiburan.

Saya merasa amat lega dan berpuas hati apabila Harakahdaily membuat laporan bahawa Pemuda PAS telah menggunakan pendekatan mesra untuk mendekati muda mudi sebelum konsert Scorpions tersebut dijalankan.

Inilah pendekatan yang sepatutnya yang perlu diambil. Golongan muda mudi ini sekarang tercari-cari cara bagaimana mereka harus mendapat hiburan serta menenangkan fikiran mereka. Untuk mereka datang ke surau atau masjid mendengar ceramah, sudah pasti tiada apa yang menyeronokkan mereka di sana.

Jadi, usaha untuk mendekati mereka di tempat-tempat yang menjadi tempat lubuk mereka adalah satu usaha yang telah diamalkan sejak zaman awal Islam lagi.

Kalau kita perhatikan kisah hidup Imam Hassan al-Banna, bagaimana beliau ketika itu mendekati masyarakat Mesir yang suka melepak di kedai kopi, bukan dengannya menghentam mereka yang suka melepak. Sebaliknya beliau pergi ke kopi untuk menceritakan akan keindahan Islam itu.

Lama kelamaan masyarakat di Mesir rasa seronok untuk melepak di kedai kopi, bukannya untuk berborak dan minum kopi semata-mata, tetapi mereka merasa seronok mendengar syarahan Imam Hassan al-Banna.

Semoga usaha ini akan diteruskan oleh semua golonga, bukan setakat golongan pemuda sahaja, malah golongan ulama dan muslimat harus turut serta memahami senario masyarakat setempat dalam kita membina masyarakat yang bertamaddun mengikut landasan Islam.

Teringat pesan Arwah Ustaz Fadzil Noor bahawa gerakan Islam mesti seperti air yang mengalir menjadi semakin bersih bukan bertakung dan menjadi busuk. Sekali lagi Syabas Pemuda PAS.

ADS