Most Read
Most Commented
Read more like this

Sama ada Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri bukanlah satu isu yang penting lagi di masa ini. Tetapi dengan bebasnya Anwar dari penjara baru-baru ini, ia seperti memberi suntikan baru kepada kita semua untuk memperjuangkan demokrasi tulen.

Sekalipun Anwar tidak menjadi perdana menteri, tetapi pengaruh dan suara lantangnya sudah cukup untuk membuatkan kerajaan kita sentiasa berhati-hati. Segala sungutan dan kritikan pihak pembangkang terhadap perjalanan amalan demokrasi di negara ini tentunya tidak diambil mudah saja oleh parti pemerintah.

Kalau diibaratkan bermain bola, selama ini kita bermain bola bukan saja dengan pengadil yang berat sebelah, malah peraturan permainan juga ditentukan oleh satu pihak yang memberi kelebihan kepada mereka.

Pastinya, pada masa-masa akan datang, kita akan dapat bermain dan bertanding dengan cara yang lebih adil dan sihat di mana pasukan yang terbaik patut mendapat kemenangan.

Sudah sampai masanya parti pemerintah menghentikan penyalahgunaan jentera dan kemudahan kerajaan untuk kempen pilihanraya. Kita mahu semangat demokrasi yang tulen didaulatkan di Malaysia demi menjamin kita sentiasa mendapat pemimpin yang terbaik di kalangan rakyat.

Kehadiran Anwar bersama kita seperti membawa sinar baru kepada demokrasi yang sedang suram di negara tercinta ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS