Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tanggal 29 September 2002, akhbar harian berbahasa Cina Oriental Daily diterbutkan buat kali pertama sebagai satu usaha untuk menembusi pasaran akhbar berbahasa Cina di Semenanjung Malaysia.

Setelah kerja-kerja penerbitan, pencetakan dan pengedaran sulung disiapkan buat kali pertama pada hari Ahad tersebut, pihak pengurusan atasan Oriental Daily menerima panggilan telefon daripada pihak kementerian Dalam Negeri (KDN) sekitar jam 1 petang. Mereka dimaklumkan bahawa penerbitan Oriental Daily harus diberhentikan.

Kemudian, sekitar jam 7 petang, pihak pengurusan atasan Oriental Daily sekali lagi menerima panggilan telefon yang memaklumkan bahawa permit penerbitannya telah digantung.

Lembaran sejarah ini merakam Oriental Daily sebagai akhbar yang mempunyai sejarah penerbitan paling pendek di Malaysia, yakni satu hari sahaja. Bagaimanapun, 96 hari kemudian, Oriental Daily diterbitkan semula pada 1 Januari 2003 dan terus berada di pasaran.

Tanggal 27 Julai 2015, penggantungan The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly mula berkuatkuasa selama tiga bulan.

Semoga kedua-dua akhbar harian dan akhbar mingguan The Edge yang berkualiti dapat diterbitkan semula selepas tempoh tiga bulan nanti.

Saya ingin membincangkan penggantungan The Edge dalam perspektif kewartawanan dan mengajukan persoalan yang relevan.

Akhbar biasanya menerbitkan laporan berita yang lazimnya berpandukan kepada lima soalan asas – apa, di mana, siapa, bila, mengapa dan bagaimana – untuk menentukan fakta cerita.

Ia berbeza dengan bentuk laporan penyiasatan yang menelan masa, perbelanjaan dan sumber lain yang lebih besar jika dibandingkan dengan pemberitaan asas.

Pemberitaan bersifat penyiasatan jarang-jarang sekali dilakukan kerana pemberitaan seumpama melibatkan kos dan risiko politik yang lebih besar.  

Apakah kesalahan The Edge sehingga dua akhbarnya digantung penerbitan? Kewartawanan apakah yang diusahakan oleh akhbar dan mingguan kepunyaan The Edge sehingga permit penerbitannya digantung?

Saya berpendapat, The Edge dikenakan tindakan kerana laporan penyiasatannya, yang jarang-jarang sekali dilakukan oleh akhbar harian lain di Malaysia.

Kebanyakan pemilik akhbar enggan memperuntukkan perbelanjaan untuk laporan penyiasatan kerana mereka tahu benar bahawa ia melibatkan risiko politik yang besar.

Sedangkan, laporan penyiasatan seperti ini akan menyumbang kepada hak warga untuk menerima maklumat yang telus dan mengangkat peranan media dalam menyemak tadbir urus sesebuah rejim pemerintah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menjenamakan dirinya sebagai bapa transformasi.

Adakah beliau masih ingat pada janji untuk membawa transformasi politik, ekonomi, sosial dan pemerintahan kepada segenap lapisan masyarakat dan rakyat Malaysia?

Kerajaan harus sedar bahawa media yang mengangkat peranan menyemak tadbir urus negara seperti The Edge dan Sarawak Report merupakan elemen penting dalam transformasi negara ke arah negara maju yang dapat membanggakan rakyat Malaysia.

Laporan bersifat penyiasatan jarang sekali disajikan dalam dunia kewartawanan Malaysia. Oleh itu kami bangga apabila ada pihak bertanya: Apa kesalahan yang dilakukan oleh The Edge dan Sarawak Report?

Perkembangan ini juga memberi peringatan kepada akhbar lain yang sekadar berpuas hati dengan pemberitaan asas dan berkomplot dengan rejim yang menyeleweng.

Masanya telah tiba untuk anda melakukan perubahan. Jika tidak, tuntutan perubahan dan pembaharuan rakyat akan menenggelamkan anda sekali pada masa yang akan datang.

Tuntutan untuk mendemokrasi media bukan bermakna hanya seruan agar seorang individu berundur, tetapi juga bantahan ke atas rejim dan pemikiran yang mengekang media.


OOI HENG pengarah eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Lihat Komen
ADS