Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda DAP (DAPSY) Perak menerima kecaman kerana membantah larangan bagi pasangan yang tidak berkahwin daripada menggunakan kerusi berkembar di pawagam

Larangan  yang dibuat atas nasihat Majlis Daerah Perak Tengah itu dilaksanakan oleh pengurusan pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) di Seri Iskandar, Perak.

Dengan tidak semena-mena, DAPSY Perak dikecam dan dituduh menentang dan meremehkan hukum Islam.

Ada yang mengatakan bahawa DAPSY Perak sengaja meraih perhatian rakyat dan sanggup menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat.

MB Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadirpula menyifatkan DAPSY Perak biadab kerana ini adalah soal kaum dan agama.

Manakala Khairul Azwan Harun selaku Naib Ketua Pemuda Umno pula menyatakan perlu ada sikap hormat menghormati di antara satu sama lain dan hormat pendirian agama masing-masing.

Kami selaku anak muda yang berada dalam DAP ingin menegaskan bahawa sejak dari dahulu lagi sememangnya DAP sudah menghormati perbezaan kaum dan agama.

DAP secara konsisten memperjuangkan hak asasi rakyat Malaysia tanpa memandang perbezaan latar belakang kaum dan agama.

Umno langsung tidak menjawab hujah yang dikemukakan oleh setiausaha DAPSY Perak, saudara Howard Lee. Sebaliknya melencong jauh dengan melemparkan persepsi, kecaman dan tuduhan yang bersifat perkauman.

Seperti yang dinyatakan oleh Howard, Akta Kerajaan Tempatan 1976 sama sekali tidak memberi sebarang kuasa kepada mana mana kerajaan tempatan untuk mengawal dan menguatkuasakan moral dan akhlak. Maka, Majlis Daerah Perak Tengah tidak berhak mengeluarkan arahan mahupun nasihat sebegitu.

Kami berpendirian bahawa moral dan akhlak adalah hal bersifat peribadi dan bukanlah tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa untuk mewujudkan undang-undang bagi mengawal perkara ini.

Kerajaan sebagai satu badan yang mempunyai kuasa memaksa dan menghukum tidak mungkin mampu menguruskan semua tuntutan moraliti yang bersifat peribadi.

Lainlah jika mereka mahu menjadi kerajaan yang kuku besi dan mengawal semua perkara.

Oleh itu tindakan ini meskipun baik bagi sesetengah orang, sebenarnya telah pun menceroboh ruang dan hak individu rakyat yang sewajarnya dipelihara selagi mana tidak mendatangkan keburukan atau kecederaan.

Contoh mudahnya, sebagaimana kerajaan tidak berhak memaksa seorang wanita membuka tudungnya atas dasar kepercayaan berbeza, kerajaan juga tidak berhak memaksa seorang wanita bertudung atas dasar kepercayaan.

Lebih jelas lagi sebenarnya tindakan Majlis Daerah Perak Tengah telah melangkaui batas yang dibenarkan atau skop bidang tugasnya seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Juga tidak wajar apabila mengatakan semua pasangan yang hadir ke pawagam adalah untuk melakukan maksiat. Ini adalah satu tuduhan yang melulu dan pemikiran yang simplistik.

Kita sewajarnya bertindak di atas kesalahan. Sekiranya terdapat pasangan, meskipun suami dan isteri, melakukan perbuatan yang tidak senonoh di ruang awam sehingga mengganggu ketenteraman awam, maka mereka wajar dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Tetapi sekiranya mereka tidak melakukan perbuatan tersebut maka tidak boleh mengenakan undang-undang untuk menyekat kebebasan mereka daripada menonton wayang bersama.

Arahan untuk menunjukkan sijil nikah apabila ingin membeli tiket tempat duduk pasangan tidak akan menyelesaikan masalah maksiat. Idea dan cadangan yang diberikan oleh saudara Howard sangat bernas apabila menjadikan pendidikan sebagai kaedah untuk membentuk dan memperbaiki sahsiah masyarakat.

Pendidikan adalah satu kaedah yang paling berkesan dalam menerapkan nilai-nilai kemanusiaan secara rasional kepada manusia.

Ianya juga dilakukan tanpa pemaksaan tetapi akan lahir daripada inisiatif secara sukarela seseorang individu. Bermakna nilai kemanusiaan itu adalah nilai yang jujur diamalkan dan bukan sesuatu perkara yang retorik berpunca daripada ketakutan.


EDRY FAIZAL ketua DAPSY Subang.

Lihat Komen
ADS