Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam rombakan kabinet terbaru, selain daripada yang ternyata iaitu penguguran Tan Sri Muyhiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri serta pelucutan beliau sebagai Menteri Pendidikan, juga ternampak dua orang lagi wakil MCA juga telah dinaik pangkat dan dibawa masuk ke dalam kabinet baru.

Hal ini dikesan melalui pelantikan setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri II dan juga ketua pemuda MCA Chong Sin Woon yang sebagai timbalan menteri pendidikan.

Bukan setakat kuota dan penglibatan MCA telah bertambah di kabinet baru, tetapi yang lebih ketara, portfolio yang telah diberi kepada mereka juga merupakan portfolio yang penting dan amat dipedulikan oleh masyarakat Cina.

Soalnya, mengapa Najib pilih masa ini untuk memberi ganjaran kepada MCA? Saya berpendapat ini jelas ada kaitan dengan kekhuatiran Najib bahawa sebilangan pemimpin dan ahli Umno akan memberontak atas keputusannya memecat Tan Sri Muyhuddin Yassin.

Tidak boleh dinafikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang pemimpin kanan Umno Johor dan juga merupakan bekas Menteri Besar Johor.

Sebarang perpecahan dalam Umno tentunya akan membawa limpahan kepada kehilangan undi pada PRU-14, terutamanya di negeri Johor dimana tapak dan pengaruh bekas Timbalan Menteri ini masih kuat. Lihat saja kenyataan Menteri Besar Dato Seri’ Khaled Nordin dan Speaker DUN Johor Tan Sri’ Mohamad Bin Aziz, yang masih memberi penghormatan kepada Muyhiddin Yassin.

Dalam keadaan huru-hara ini, Najib terpaksa menaruh harapannya kepada MCA untuk menawan hati dan undi kaum Cina pada pilihan raya yang akan datang. Caranya, dengan membuka pintu kabinet kepada MCA dan isikannya dengan kerusi baru dengan nama MCA di belakang. Mudah tapi adakah berkesan?

Saya rasa ini merupakan satu perjudian politik oleh Najib yang akan gagal. Rombakan kabinet, pemecatan Peguam Negara, penamaan empat ahli-ahli PAC termasuk pengerusinya sebagai Menteri dan Timbalan Menteri pada hari yang sama telah sekali gus melenyapkan harapan rakyat Malaysia.

Ini termasuklah masyarakat Cina yang rata-ratanya sudah lama hilang keyakinan terhadap MCA untuk berdepan dengan ‘taiko’ Umno dalam isu-isu kepentingan rakyat seperti skandal 1MDB dan isu rasuah di negara ini.

Ini jelas terbukti dengan prestasi MCA pada pilihan raya lepas di mana parti tersebut hanya mampu memenangi tujuh kerusi Parlimen daripada 37 yang ditandingi dan 11 kerusi DUN daripada 90 yang ditandingi di seluruh Malaysia. Prestasi ini adalah lebih teruk daripada PRU12 di mana MCA masing-masing memenangi 15 dan 32 kerusi Parlimen dan DUN.

Tiada apa-apa petanda yang jelas untuk menyatakan terdapat pengaliran balik sokongan Cina kepada MCA. Sebaliknya daripada bacaan di media sosial, akhbar Cina dan maklum balas rakyat, adalah jelas komuniti Cina tiada lagi keyakinan kepada MCA untuk membuat perubahan dalam BN.

Pelantikan baru mereka ini hanya akan dimarahi rakyat sebagai satu pembaziran wang kerajaan yang dilakukan semata-mata hanya untuk kepentingan politik.

Hakikatnya, Najib kini nampak hilang sokongan akar umbi Umno dan cuba terus mempertahankan kuasanya melalui sokongan daripada MCA dan sekutunya dari Sabah dan Sarawak.

Perpecahan Umno terutamanya di Johor akan membuka satu lanskap politik baru di Malaysia dan semua pihak yang bersefahaman untuk membentuk satu Malaysia yang bebas daripada rasuah dan kronisme mesti bersatu dan berkerjasama pada masa kritikal ini.


JIMMY PUAH timbalan pengerusi PKR Johor dan ADUN Bukit Batu.

Lihat Komen
ADS