Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

PAS tewas di Terengganu dan kehilangan banyak kerusi di Kelantan serta negeri-negeri lain dalam pilihanraya umum lalu. Dan pimpinan tertinggi PAS pula menjadi 'ego' tidak mahu mengakui kesilapan sendiri.

Secara peribadi, saya amat mengimpikan pimpinan ulama. Saya menyokong penuh kepimpinan ulama. Soalnya ulama yang bagaimana? Adakah pimpinan tertinggi PAS sekarang ulama?

Berbeza dengan kepimpinan Almarhum Fadzil Noor dahulu yang kelihatan mendepati realiti, yang ada sekarang hanya pandai beretorika tetapi tidak tahu menyelesaikan masalah. Mereka hanya tahu mengatakan yang ini haram hukumnya, tanpa tahu menunjukkan yang mana halal.

Jika hiburan begitu haram, jadi tolonglah tunjukkan hiburan alternatif untuk anak muda yang dikatakan halal. Pastinya Islam tidak sesekali mengharamkan hiburan. Bak kata lirik lagu Raihan 'Berhibur itu tiada salahnya kerna hiburan itu indah ...'.

Jadi di mana usaha pimpinan tertinggi PAS untuk mewarnai hiburan alternatif ini? Pemuda telah bersungguh-sungguh melakukannya tetapi semacam ada pelbagai reaksi yang sumbang terhadap usaha ini. Jadi hendak bermimpikah PAS berjaya mencapai impian untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini jika tidak mendapat sokongan generasi muda?

Sekitar tahun 1998, ramai profesional menyertai PAS untuk berganding bahu bagi mencapai cita-cita murni itu. Jelas dapat dilihat bahawa golongan ini cuba untuk menyingkirkan profesional yang ada di dalam PAS.

Saya ingin mengingatkan bahawa Islam pada zaman dahulu gemilang dan terbilang kerana dipimpin oleh ulama yang unggul. Di situ lahirnya Umar Abdul Aziz, Ibnu Sina (ulama, doktor dan saintis) dan ramai lagi.

Dahulu ulama itulah profesional. Maka terbinanya empayar Islam yang agung. Tetapi kini, ramai ustaz yang mengaku dia ulama dan cuma tahu mengatakan yang ini haram dan yang itu juga haram, tetapi gagal mempamerkan sesuatu yang alternatif yang halal untuk pengetahuan umum.

Islam itu memang universal dan unggul pada setiap zaman dan keadaan. Tetapi masalahnya ialah golongan yang mengaku ulama gagal mempamerkan Islam itu hebat, canggih dan unggul.

Yang dipamerkan kepada dunia ialah Islam itu ortodoks, hanya tahu menghukum, tetapi tidak tahu menyediakan alternatif kepada perkara yang haram.

ADS