Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ABIM berkongsi keprihatinan yang mendalam terhadap kebimbangan yang dizahirkan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) berhubung gejala berbau perkauman yang semakin rancak dimainkan oleh segelintir umat Melayu terhadap bangsa Cina di negara ini.

Presiden MACMA, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin menekankan bahawa umat Melayu Islam memainkan peranan penting ke arah suri teladan kepada masyarakat bukan Islam di negara ini.

ABIM yakin bahawa MACMA adalah sebuah persatuan yang memayungi bangsa Cina beragama Muslim dan bertanggungjawab menyampaikan kefahaman Islam yang tepat di kalangan bangsa Cina di Malaysia.

MACMA pastinya mempunyai asas yang kukuh untuk menolak tafsir agama Islam yang cenderung bersifat perkauman asabiyyah yang sempit serta dilihat tidak selari dengan tuntutan nilai sebenar ajaran Islam.

Dengan semangat yang sama, ABIM amat berdukacita serta menolak sebarang sentimen serta prasangka berbau ras yang cuba dimainkan ke atas bangsa tertentu di negara ini.

Amalan rasisme ini sekiranya tidak dihentikan akan membiakkan gejala ekstremisme yang sama sekali tidak akan menguntungkan bangsa Melayu dan umat Islam di negara bertuah ini.

ABIM berkeyakinan bahawa perjuangan membela bangsa dan agama memerlukan takrif yang jelas dan segar. Perjuangan membela bangsa dan agama seharusnya disemai ke arah mengukuhkan prinsip yang dituntut oleh Islam seperti keadilan sosial, amanah, integriti dan perpaduan umat dan selari dengan tuntutan maqasid syariah.

Umat Melayu Islam seharusnya menampilkan wajah dan citra hakiki Islam sebagai agama rahmat sejagat.

Pengenalan istilah "rasisme Islamik (Islamic racism)" adalah satu percubaan yang keji dalam usaha menghalalkan sifat perkauman atas justifikasi agama.

Sepanjang sejarah, rantau Melayu telah melaksanakan amanah pencitraan ini dengan menampilkan wajah Islam yang ramah, santun dan peduli.

Rekod sejarah toleransi yang unik rantau ini harus dilestarikan serta digembleng sebagai satu kekuatan penyatu pelbagai ranah bangsa yang berbeza.

Justeru sebagai bangsa yang bermaruah, umat Islam harus mengangkat prinsip kemuliaan insan atau karamah insaniyah yang dijamin Allah ke atas seluruh anak Adam tanpa mengira bangsa dan agama.

Menerusi pemahaman keatas prinsip ini, kita akan dapat menghargai kewujudan bangsa lain di negara ini sebagai manusia yang turut mempunyai maruah dan kemuliaan diri.


MOHAMAD RAIMI ABD RAHIM presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lihat Komen
ADS