Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saban tahun, Asia Tenggara akan menyambut kehadiran jerebu yang memenuhi ruang udaranya, hasil daripada aktiviti pembersihan ladang-ladang di rantau ini khususnya di Indonesia.

Langkah untuk mengatasinya dirumitkan lagi dengan keadaan alam yang tidak menentu seperti berlakunya fenomena El Nino yang berpanjangan.

Pada ketika tulisan ini digarap, beberapa wilayah di Indonesia seperti di Pontianak dan Riau sudah diisytiharkan darurat kerana tidak selamat lagi dihuni setelah bacaan indeks udaranya telah mencapai 1000.

Kemelut ini turut memberi kesan dinamik merentas sempadan Indonesia khususnya kepada Malaysia dan Singapura yang telah mencatat angka lebih 200 pada bacaan indeks udaranya.

Semestinya, ia bukan sekadar memberi kesan kepada alam tetapi juga kepada ekonomi dan masyarakat yang terlibat.

Di Malaysia, krisis jerebu menyebabkan sesi persekolahan terpaksa digantung di beberapa negeri dan turut menyebabkan penerbangan tergendala akibat jarak penglihatan yang terlalu rendah.

Malaysia tidak bersendirian kerana kesan yang serupa turut terpalit kepada Singapura yang bimbang kerana jerebu menjejaskan sektor pelancongan.

Ketika jerebu muncul pada 1997, rangkaian TV CNN melaporkan bahwa Indonesia dan Singapura kerugian berbilion dolar dalam usahanya mengatasi bencana ini.

Kali ini, nilai tersebut pasti meningkat dengan mengambil kira perkembangan ekonomi global yang tidak menentu.

Yang pasti kini, dengan mengambil kira segenap aspek secara komprehensif, penyelesaian harus disegerakan bagi mengawal krisis ini daripada terus menjadi perayaan tahunan.

Krisis alam, hak dan keselamatan sosial

Sarjana perundangan antarabangsa, James Boyle dalam satu tulisan pada tahun 2012 mengaitkan krisis alam dengan hak sosial. Beliau mengutarakan bahwa segala krisis alam yang berlaku akan merembat hak sosial yang asas.

Ini termasuklah seperti hak untuk hidup, hak untuk jaminan kesihatan dan hak untuk menjalankan aktiviti berkaitan ekonomi serta hak untuk memiliki harta dan ruang peribadi. Hak-hak ini harus dijamin oleh pemerintah demi memastikan kestabilan sosial, ujarnya.

Kestabilan sosial dan kedaulatan negara kini tidak lagi hanya bergantung kepada punca kuasa bala tentera. Zaman telah berubah, begitu jua dengan kerangka keselamatan.

Zaman atom menaktrif kerangka keselamatan secara komprehensif. Pemaknaan konsep keselamatan komprehensif ini dibuat dengan begitu jelas oleh sarjana hubungan antarabanga, Barry Buzan.

Buzan, seperti dipetik Marianne Stone (2009) menggariskan lima segmen keselamatan; bala tentera, politik, ekonomi, masyarakat (akar umbi) serta alam sekitar. Kelima-lima ini saling berhubungkait.

Buzan menemukan perkaitan antara kerangka keselamatan nasional dan hak sosial, sebagaimana Boyle yang mengaitkan krisis alam dengan hak sosial. Nyatalah bahawa dua perkara ini saling berhubungan.

Berbalik kepada krisis jerebu; ia merupakan krisis alam yang maha dahsyat di Asia Tenggara dan penyelesaiannya masih menemui jalan buntu. Negara rantau ini harus bekerjasama untuk menghadapi krisis jerebu.

Sekali lagi, konsep kebergantungan negara di rantau ini diambil kira, sekiranya krisis yang melanda tidak ditangani dengan cermat dan segera, maka berlakulah kesan domino terhadap ASEAN dan negara anggotanya.

Kerjasama dalam ASEAN

Negara anggota ASEAN seringkali membelakangkan organisasi itu sebagai medium penyelesaian rantau ini. Penyelesaian yang dicari dengan hanya melibatkan negara-negara yang terlibat sahaja walhal setiap krisis yang berlaku merupakan krisis serantau.

Perkara ini diakui dan ditekankan oleh sarjana tempatan, Prof Mohd Kamarulnizam Abdullah (2015) yang menyatakan bahwa setiap krisis yang berlaku di rantau ini tidak dibincangkan dalam konteks ASEAN.

Menurut Mohd Kamarulnizam, ia hanya melibatkan beberapa negara sahaja malah sekretariat ASEAN juga seakan tidak memainkan peranan dalam menjadi penggerak kerjasama antara kerajaan negara anggota.

Senada dengan beliau adalah Prof Durrishah Idrus (2015) yang menyatakan bahawa negara anggota ASEAN lazimnya akan menyelesaikan krisisnya secara bersendirian – sebagai contoh, krisis ekonomi 1997.

Dengan konotasi yang serupa, perdana menteri Singapura baru-baru ini telah menegaskan betapa pentingnya negara anggota ASEAN untuk memberi tumpu kepada kerjasama serantau dalam mendepani pembentukan sebuah komuniti pada hujung tahun ini.

Nada beliau seperti mengiyakan tentang kelemahan negara anggota ASEAN dalam menjalinkan hubungan kerjasama khususnya dalam mendepani krisis serantau.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, saya juga memetik pendapat Ngituragool (2011) yang menegaskan bahwa jalan penyelesaian bagi krisis jerebu hanya dapat ditemukan melalui kesepakatan dan kerjasama serantau.

Pendapat popular beliau ini telah dikaitkan dengan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang dimeterai pada tahun 2002.

Indonesia urus sendirian

Peruntukan Artikel 12 (4) di dalam perjanjian ini telah mengusulkan suatu mekanisme bantuan kecemasan oleh negara anggota ASEAN kepada negara anggota yang terjejas akibat pembakaran di daratan dan hutan.

Pun begitu, mekanisme ini cuma membuahkan hasil sekiranya mendapat persetujuan diberikan oleh negara yang terjejas berserta syarat yang ditetapkan kepada negara yang bersedia untuk membantu.

Kita boleh perhatikan, pada kali ini Singapura dan juga Malaysia telah bersiap siaga untuk menghantar pasukan keselamatan mereka bagi misi meredakan kebakaran dan jerebu. Namun Indonesia masih berpendirian ia mampu menguruskan krisis tersebut secara bersendirian.

Sebagaimana yang dinyatakan, zaman globalisasi ini meraikan kebergantungan antara negara dan kerjasama serantau merupakan pelestarian konsep kebergantungan yang paling dekat untuk diberi tumpuan.

Nilai serumpun harus diterapkan di dalam setiap negara anggota ASEAN bagi mendepani sebarang krisis serantau kerana kesannya tidaklah kepada sesebuah negara tetapi kepada seluruh rantau ini.

Krisis jerebu ini bakal berulang sekiranya penyelesaian tidak diusahakan dalam konteks ASEAN.


MUHAMMAD ARIFF MOHAMAD NIZAM siswa Program Kajian Antarabangsa Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak.

Lihat Komen
ADS