Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKPIM menyatakan kekesalan kami terhadap sikap dan tindakan para pemimpin Israel yang terus-menerus melakukan pencerobohan secara sistematik dan terancang ke atas bumi Palestin.

Bukan sekadar itu sahaja, Zionis Israel kini sedang merencanakan usaha merampas Masjid al-Aqsa iaitu Tanah Suci ketiga umat Islam seluruh dunia, dan juga merupakan tapak warisan peradaban antara tertua di dunia.

Tindakan Israel menghalang lelaki Muslim berusia 50 tahun ke bawah daripada masuk ke Masjid Al-Aqsa mencetuskan tentangan hebat rakyat Palestin.

Tunjuk perasaan dilakukan di merata-rata tempat malah seringkali dilayan secara biadab oleh tentera Zionis sehingga mengakibatkan kecederaan parah.

Beberapa insiden pencerobohan golongan ekstremis agama Yahudi ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa juga semakin kerap berlaku.

Golongan pelampau ini juga sudah mula melakukan upacara dan ibadat Yahudi dalam Masjid al-Aqsa. Lebih mengecewakan apabila pencerobohan ini direstui oleh pimpinan Israel dan disokong oleh pihak bersenjata Israel.

Tindakan golongan ekstrem "far-right" Yahudi seperti aktivis Yehuda Glick dan pengikutnya yang menuntut pembinaan "the Third Temple" di dalam kompleks Masjid Al-Aqsa atas nama kebebasan beragama adalah suatu yang melampau dan tidak masuk akal.

Bagaimana mungkin mereka berbicara tentang kebebasan beragama sedangkan kaum Muslimin khususnya orang Palestin dilarang terus daripada masuk dan beribadah di dalam masjid sendiri?

Pembinaan penempatan haram baharu di Timur Jerusalem pula memburukkan lagi keadaan dan ia adalah pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan kontradik dengan pelan “two-states solution”.

Dalam masa yang sama, usaha penggalian bawah tanah di dalam kompleks Masjid al-Aqsa sedang giat dijalankan oleh pihak Israel.

PKPIM mengutuk keras tindakan dan sikap angkuh para pimpinan Israel yang sesuka hati mencabuli undang-undang dunia. Sememangnya Israel terkenal dengan kesombongannya dan sewenang-wenangnya memperlakukan Palestin.

Pencerobohan seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah Palestin. Pada tahun 1994, di Bandar Al-Khalil (Hebron), Masjid Ibrahimi telah dicerobohi oleh seorang pelampau Yahudi yang masuk ke masjid dan melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan kematian puluhan jemaah yang sedang bersolat, manakala ratusan yang lain turut cedera.

Apa yang berlaku kini, Masjid Ibrahimi di Bandar al-Khalil dibahagi kepada dua bahagian; satu bahagian untuk umat Islam, dan satu lagi untuk umat Yahudi. Ini tidak dapat diterima akal.

Orang Yahudi punya tempat ibadat yang tersendiri, mengapa menceroboh tempat ibadat penganut agama lain? Jelas, ini pencabulan terhadap prinsip dan hak kebebasan beragama yang sewajarnya dihormati secara bersama oleh seluruh penduduk dunia.

Justeru, PKPIM menyeru masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia amnya, untuk bersama-sama bersatu menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mempertahankan hak kaum tertindas.

Penjajahan Israel ke atas Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang, dan Kuasa Besar dunia hanya mendiamkan diri sahaja atas kezaliman nyata yang dilakukan.

Justeru, kita sebagai rakyat dan penduduk dunia yang akan menghakimi Israel.

PKPIM dan seluruh badan gabungan kami juga menyatakan sokongan padu terhadap gabungan NGO Malaysia yang dibentuk untuk kempen Selamatkan al-Quds.

Gabungan NGO ini akan menganjurkan Himpunan Kemarahan terhadap Zionis dan solidariti bersama Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini selepas Solat Jumaat.

Kami menyeru para pelajar dan mahasiswa turun beraksi ke himpunan ini bagi menyampaikan mesej bantahan keras terhadap sekutu kuat Zionis Israel, Amerika Syarikat yang mendanai sistem persenjataan Israel dengan wang pembayar cukai Amerika.

PKPIM sekali lagi menyeru masyarakat Malaysia menyokong usaha dan kempen menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mengenakan tekanan global terhadap Israel dan sekutu kuat mereka.

Sekiranya sebahagian masyarakat Eropah dan Amerika Latin berusaha memberi tekanan dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin, apakah kita masih terus berdiam diri?

Sesungguhnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan adalah tugas kita bersama. Palestin akan dibebaskan suatu hari nanti.


MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Lihat Komen
ADS