Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan rasa sedih dan kesal atas berita kesepakatan yang dicapai oleh 12 buah negara termasuk Malaysia dalam perundingan peringkat akhir di Atlanta, Amerika Syarikat, semalam.

Ternyata, setelah sekian lama berdolak-dalih, akhirnya kerajaan bakal menjual negara.

Sikap dolak-dalih Kerajaan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terhadap isu Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement - TPPA) akhirnya membuahkan jawapan.

Setelah lima tahun penelitian dan kajian dibuat oleh MITI, dengan pelbagai rintihan dan kerisauan rakyat, kerajaan masih yakin bahawa TPPA baik untuk negara.

PKPIM mewakili kelompok pelajar dan mahasiswa tanah air sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak akan mudah berpuas hati dengan jaminan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menggunakan skrip jawapan yang sama setiap kali rakyat menyatakan kerisauan.

Beliau berulang kali menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan kesemua aspek yang menjadi keprihatinan dan sensitiviti Malaysia diambil kira.

Dalam kenyataan media beliau ketika rundingan di Hawaii penghujung Julai lalu, Datuk Seri Mustapa Mohamad memberikan jawapan yang masih belum cukup meyakinkan. Begitu juga yang diperhatikan dalam kenyataan media MITI semalam.

Dalam hiruk pikuk keresahan rakyat dengan situasi ekonomi gawat hari ini, mana mungkin kami boleh berasa yakin dengan kebolehan negara menangani TPPA?

Ini kerana, kerajaan dilihat tidak mampu mengendalikan skandal besar politik dan ekonomi negara yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara.

Inikan pula isu yang mungkin berbangkit dengan pihak pelabur luar dengan peruntukan perundangan ISDS (Investor-to-State Dispute Settlement) dalam TPPA ini?

Pelajar dan mahasiswa Malaysia sudah hilang percaya terhadap integriti kerajaan. Cukuplah kami dijanjikan oleh para menteri tentang kebaikan GST dan ia akan beri kesan baik kepada rakyat.

Ternyata, kerajaan sendiri gagal mengawal kesan kenaikan harga barang selepas implementasi GST. Bagaimana mungkin kerajaan mampu mengawal harga barangan penting seperti ubat-ubatan apabila tempoh paten dilanjutkan?

Apa tindakan kerajaan nanti bila harga buku meningkat kerana hayat hak cipta dilanjutkan sehingga 120 tahun?

Kesimpulannya, kami meragui TPPA seluruhnya. Memang kami ragu-ragu dengan kerajaan. Jangan gadai masa depan kami.

PKPIM bersama dengan pertubuhan pelajar dan mahasiswa akan terus mendesak kerajaan dalam isu ini.

Rakyat seluruh dunia sedang bangkit menyatakan kekesalan kepada negara masing-masing atas peristiwa malang ini.

Walaupun kesepakatan sudah dicapai oleh kesemua perunding terbabit, kami akan pastikan kerajaan terus ditekan. Jangan biarkan negara terjual akibat kejahilan pemimpin.


MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Lihat Komen
ADS