Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perubahan selalunya tidak datang dengan begitu senang. Dalam proses perubahan, ada pula kesinambungan silam jahiliah dan bebanan tabiat yang susah untuk ditinggalkan.

Kes timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Sains Malaysia (USM) memilih menggunakan Auku untuk 'mendidik' mahasiswi yang terlibat dalam politik, bukan setakat menceritakan senario perubahan yang menghadapi halangan.

Ada makna tersirat yang lebih mendalam dalam kes tersebut dari segi perubahan falsafah universiti dalam menangani cabaran masa depan. Pada zaman 1980-an, awal 1990-an dan pertengahan 1990-an, mahasiswa dan mahasiswi begitu bernasib baik sekali diperlukan untuk menampung industri pasaran yang dahagakan tenaga kepakaran asas.

Sesiapa sahaja yang memegang ijazah akan diserap oleh pasaran yang amat kekurangan tenaga kerja dari universiti. Pada masa itu, industri Malaysia masih di tahap tenaga buruh intensif.

Pada waktu itu juga, siswa-siswi hanya memerlukan kebolehan untuk menguasai ilmu dengan menurut apa sahaja perintah yang dipesan oleh pensyarah dan lulus peperiksaan.

Universiti boleh menggunakan cara autoritarian untuk menghasilkan graduan-graduan yang memenuhi keperluan pasaran kerja. Kualiti graduan yang secocok dengan 'set minda Auku' tidak menjadi masalah.

Adakah hasil produk graduan 'set minda Auku' mempunyai kualiti dan jati diri untuk menghadapi cabaran masa depan? Apakah akibat yang akan ditanggung oleh graduan tempatan di bawah kongkongan sisa-sisa dan bayang-bayang 'set minda Auku'?

Jawapannya nyata, graduan tempatan akan mendapat sisa-sisa pekerjaan pasaran, bahkan menjadi habuk dalam dunia persaingan masakini.

Baru-baru ini, USM mencatat nama sebagai antara 200 universiti unggul antarabangsa yang di senarai oleh Times Higher Education. USM di bawah pimpinan Naib Canselor Profesor Dzulkifri Abdul Razak, telah mengambil pelbagai langkah dan inisiatif untuk membawa USM menjadi sebuah universiti yang dihormati dan bertaraf dunia.

Antara lain, perubahan yang berlaku termasuklah menggalakkan suasana penyelidikan akademik secara sistematik dan berterusan. Langkah ini sesuatu yang berpandangan jauh.

Dengan anjakan ekonomi masa depan negara kita, dari jenis industri tenaga kerja intensif kepada industri semi-berkepakaran dan industri berkepakaran tinggi, maka graduan tidak boleh hanya menerima sahaja pengetahuan sedia ada untuk sekadar lulus peperiksaan.

Graduan yang lebih aktif, kritikal dan berkeyakinan diperlukan oleh pasaran. Satu persoalan juga timbul dalam fikiran saya: Dengan segala peraturan dan suasana yang menghadkan kecergasan pemikiran seseorang, tanpa kebebasan, bagaimanakah penyelidikan akademik dapat berkembang?

Dengan erti kata lain, tanpa membuka ruangan bebas bergerak ini dan membina tradisi liberal, bagaimana peningkatan ilmu dapat dikecapi dengan 'set minda Auku' kerana padahal, Auku memang sesuatu yang anti-intelektualisme.

Yang paling anehnya, mengapa masih ada kesinambungan zaman lampau walaupun perdana menteri sekarang sudah menyeru semua pihak supaya bercakap benar dan lebih bertoleran dengan politik pembangkang di mana Anwar Ibrahim pun sudah dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Ada pihak yang ketinggalan zaman dan masih tidak dapat mengikuti perkembangan baru atau masih terkilan-kilan dan terkapai-kapai dengan halatuju dan destinasi baru. Perubahan minda memerlukan tindakan yang menyeluruh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS