Saya merujuk kepada laporan malaysiakini mengenai pertemuan Anwar Ibrahim dengan para peguam , khususnya peguam yang dilihat dekat dengan kumpulan reformasi. Saya juga membaca dengan teliti surat bertajuk Anwar mengelentong rakyat sekali lagi? oleh Saiful Bahri.
Selepas dua bulan Anwar keluar penjara, semakin hari semakin jelas ke arah mana perjuangan beliau. Nampaknya, beliau amat sukar untuk berpisah dengan alam khayalnya sewaktu beliau masih lagi berada di dalam kerajaan Barisan Nasional.
Terus terang, saya langsung tidak berkeyakinan bahawa beliau akan memilih mana-mana parti pembangkang sebagai wadah perjuangannya, sama ada PAS mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan isterinya.
Sepertimana dahulu, Anwar akan memilih sebuah parti yang menjanjikan populariti dan kekayaan melimpah ruah. Parti apa lagi yang boleh menjanjikan hal sedemikian, kalau bukan Umno?
Gabungan kemunafikan dan inginkan populariti segera inilah yang saya lihat bergabung dalam diri Anwar. Secara kebetulan, saya terbaca sebuah sajak yang menarik dalam Akhbar Mahasiswa berjudul 'Manusia Kelkatu', yang mengingatkan saya kepada Anwar.
Saya salin sajak tersebut untuk dikongsi maknanya dengan pembaca malaysiakini .
Manusia Kelkatu
Manusia-manusia kelkatu
mencari-cari cahaya
terbang ke arah
lampu dan api
Kelkatu terus digamit
wahai cahaya terang bersinar
aku datang padamu
aku dakap sinarmu
Ku korbankan segala kudratku
demi mencapaimu
ku korbankan prinsip dan maruahku
demi silau gemerlapmu
sekian lamanya
cahaya itu rupanya satu semu
tak pernah ditangkap didakap
rupanya
cahaya bersumber api
api ditutupi cermin
sang kelkatu melanggar kaca teguh
sayapnya kepatahan
tidak dapat lagi terbang berlari
kelkatu masuk ke lingkaran setan
sekalipun tahu cahaya menipunya
dia tenggelam dalam keasyikan kesakitan
tipu bertindan di atas penipuan
semakin jauh terbang
kelkatu semakin lemah
digagahi jua mencari
sisa api
sudah habis dayaku rupaya
cahaya pelita makin malap
pudar ditelan suria memancar
dan pagi yang terang
sesudah subuh
kelkatu berkaparan jatuh
di jalan.
