Kenaikan menggila indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur baru-baru ini menggambarkan peranan dan pengaruh Anwar Ibrahim terhadap ekonomi Malaysia.
Apakah ini membayangkan bahawa Anwar sudah mulai memberi petanda beberapa cabang kekuatannya dan ianya khas ditujukan kepada kerajaan, pelabur, bankers, peniaga di Malaysia ?
Sebelum itu, adalah perlu dijelaskan secara ringkas akan jumlah mata indeks BSKL yang bermula pada 1997. Ketika berlaku serangan matawang, indeks komposit awal tahun 1998 merudum ke tahap paling rendah iaitu 300 mata.
Ekonomi dunia yang ketika itu jatuh, bermula di negara Amerika Latin apabila penyangak matawang antarabangsa yang popular, George Soros, menyusut nilai matawang negara Argentina, Brazil dan Mexico.
Impak kejatuhan nilai matawang/indeks saham kemudiannya dimulakan dengan serangannya ke atas negara-negara Asia Timur dan di Asia Tenggara.
Tindakan ini dipercayai dilakukan oleh penyangak- penyangak ini apabila mereka gentar melihat kebangkitan Jepun, Korea dan China yang digelar harimau ekonomi Asia mengambil alih peranan sebagai kuasa ekonomi baru bagi menggantikan ekonomi Amerika, malah negara-negara blok Eropah.
Namun, kelemahan sistem agihan ekonomi atau lebih tepat lagi, konsep rasuah yang berleluasa yang berlegar di sekeliling pinggang pemimpin negara dan ahli perniagaan, memudahkan lagi kejatuhan pasaran saham Korea dan Jepun. Ia merebak ke Asia Tenggara apabila matawang baht Thailand mula diserang, diikuti peso Filipina, rupiah Indonesia dan ringgit Malaysia.
Serangan matawang ke atas rupiah membawa kepada kejatuhan regim Suharto apabila rakyat mulai mual dan memberontak melakukan reformasi jalanan. Jatuhnya Suharto sudah menggentarkan regim Dr Mahathir Mohamad apabila timbalannya ketika itu, Anwar, banyak membantah akan perlaksanaan sistem 'bail out' (menggunakan wang negara) syarikat-syarikat kroni Dr Mahathir.
Tepat 2 Sep 1998, Anwar dipecat ketika indeks komposit BSKL mulai menjunam ke paras terendah, mencecah hampir 300 mata sahaja. Malah matawang ringgit Malaysia (RM) yang asalnya kukuh kerana dasar berjimat-cermat Menteri Kewangan ketika itu, Anwar, turut terjejas, apabila pada satu tahap, pernah dinilaikan satu US dolar (USD) bersamaan RM6.80!
Maka, dengan itu, nilai RM terpaksa ditambat kepada satu USD bersamaan dengan RM3.80 pada 1 Sep 1998.
Kenaikan indeks mata BSKL memakan masa yang agak lama untuk kembali naik. Kebanyakan masa ianya ketara naik hanyalah pada waktu-waktu pilihanraya tahun 1999 dan 2004. Kenaikan mendadak mata BSKL berlaku sebelum pengumuman tarikh pilihanraya 1999, apabila ia mencecah paras tertinggi iaitu sehingga 500 mata.
Sepanjang tahun berikutnya, indeks mata BSKL tidak mencatatkan kenaikan yang meyakinkan. Ianya sekadar berlegar pada tahap kenaikan 2-3 mata mingguan. Ini berlarutan hinggalah ke beberapa tahun sehingga tahun 2004.
Walaupun BN mencapai kemenangan 90 peratus pada pilihanraya 2004, namun indeks BSKL masih lagi menunjukkan 'rasa malu-malu' untuk terus meningkat berdasarkan faktor tahap indeks rasuah Malaysia yang masih tinggi dan hukuman penjara ke atas Anwar.
Perlu diingatkan, kes Anwar merupakan 'core factor' (syarat utama) untuk pelabur-pelabur Amerika, Eropah, Arab dan Asia datang ke Malaysia. (Antaranya lapangan terbang KLIA pernah disabotaj oleh syarikat penerbangan luar negara, sehinggakan banyak penerbangan transit dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura).
Namun, segalanya mulai menunjukkan perubahan ketara tatkala tarikh 2 Sep 2004 berlabuh. Indeks BSKL ketika itu berada pada tahap 700 mata.
Setelah tiga jam kes Anwar sedang berlangsung dan sebaik sahaja beliau bebas tepat jam 12 tengahari, indeks komposit BSKL melonjak naik ke tahap 740 mata.
Ini merupakan kenaikan mata paling tinggi dalam masa empat bulan. Malah akhbar berbahasa Cina edisi tengahari, melakarkan grafik kenaikan mata BSKL di sebelah wajah Anwar.
Hari berlalu ... setiap gerak-geri Anwar diawasi sepenuh minat oleh pelabur. Kata-kata dan langkah konsisten beliau, seperti mengucap terimakasih kepada Pak Lah, tiada dendam kepada Mahathir, meneruskan agenda masyarakat madani, ingin mengadakan dialog konflik Barat dan Islam, membasmi rasuah, menghapuskan ISA, menjana ekonomi, membasmi kemiskinan semua telah menjadi dalang- dalang utama kenaikan indeks BSKL secara berterusan.
Sehinggalah ke satu tahap kehadiran beliau di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Pak Lah di Kepala Batas, menjadi bom jangka kenaikan menggila indeks BSKL keesokan harinya apabila ia memcecah keparas 900 mata.
Kenaikannya cukup memberi impak akan kehadiran semula Anwar ke arena politik negara. Ingat, bila Anwar dipecat, indeks hanya berjumlah 300 mata dan selepas dibebaskan ianya naik ke tahap 900 mata.
Sungguh ajaib bila difikirkan kenaikkan indeks BSKL ini kerana kalau dilihat keadaan semasa ekonomi dunia di mana perang Iraq terus berlaku, harga minyak terus naik satu tong bernilai USD$50, matawang USD yang terus susut dibanding dengan Euro, ianya sudah pasti tidak banyak menyokong kenaikan indeks BSKL.
Kenaikan 200 mata dalam masa dua bulan (September-November 2004) berbanding dengan 400 mata dalam masa enam tahun (1998-2004), adalah satu angka yang sangat menakjubkan.
Perlu diingatkan, Anwar belum lagi melakukan penjelajahan ke seluruh dunia dengan misi beliau. Adakah akan berlaku satu pertembungan kuasa politik/ekonomi antara Anwar dan kerajaan Malaysia?
Mampukah kerajaan menentang sekali lagi Anwar secara terbuka? Atau yang lebih ditakutkan oleh kerajaan Malaysia ... tekanan dan kekuatan ekonomi/politik Anwar, menyebabkan mereka terpaksa berkompromi kuasa? Satu persoalan yang dirasakan hanya akan terjawab paling lama, sebelum pilihanraya 2008.
Anwar Ibrahim si rajawali sudah mula membawa pelabur-pelabur datang semula ke Malaysia. Noktah.
