Saya merujuk kepada surat Kelantan71 bertajuk Anwar masih khayalkan zaman bersama BN? Dalam surat itu, Kelantan71 ada menyatakan yang beliau sudah tidak yakin Anwar akan memilih mana-mana parti pembangkang, baik Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS.
Saya ingin bertanya kepada Kelantan71, sejak bila beliau ada keyakinan terhadap Anwar? Tulisannya, ' ... sepertimana dulu, Anwar akan memilih sebuah parti yang menjanjikan populariti dan kekayaan melimpah ruah'.
Tulisan itu, jika diteliti, nampak sah yang Kelantan71 kecewa kerana Anwar tidak menyertai PAS pada awal 1980-an. Pada saya, tidak ada salahnya Anwar memilih parti yang menjanjikan populariti dan kekayaan melimpah ruah, daripada beliau memilih sebuah parti pembangkang yang taksub dan jumud, sudah hidup lebih setengah abadpun, masih lagi menjadi pembangkang.
Dengan populariti itulah saham di Bursa Saham Kuala Lumpur naik 400 mata semasa hari pembebasan beliau dan sekali lagi naik kepada 900 mata berberapa minggu sudah.
Bukankah itu satu petanda baik untuk ekonomi negara dan juga menunjukan Anwar memang lebih popular dari Pak Lah, Nik Aziz (Nik Mat) dan Abdul Hadi Awang?
Agak-agak Kelantan71 dan pembaca semua, kalau Nik Aziz atau Abdul Hadi berada dalam situasi Anwar sekarang, saham di BSKL boleh naik tak?
Sudah tentu populariti dan kekayaan itu boleh dikecapi Anwar, kerana Umno parti pemerintah. Apa yang hendak dihairankan ialah kalau seorang exco kerajaan negeri boleh hidup mewah, pakai dua tiga buah kereta import, rumahnya besar macam pejabat kedutaan Amerika dan sanggup mencantas orang bawahnya semata-mata untuk mendapat kawasan balak, itu lebih jijik dan hina wajah sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar.
Tambahan lagi, ada yang sanggup mengkhianati perjanjian, sedangkan di zaman Nabi dulu kaum Yahudi dan kafir quraisy pun tidak berani melanggar perjanjian. Itu orang kafir, ini perjanjian yang di buat sesama Islam boleh dilanggar, apa hebatnya?
Sebenarnya, cahaya dalam sajak itu adalah Anwar dan kelkatu adalah beberapa pemimpin yang sewadah dengan Kelantan71. Cahaya tidak pernah menipu kelkatu, tetapi kelkatu yang tertipu kerana kelkatu adalah serangga yang tidak berguna dan tidak berakal.
Cahaya tetap bercahaya untuk menerangi alam. Pesan saya kepada Kelantan71, jangan jadi kelkatu kerana sebaik-baik kejadian yang Allah ciptakan ialah manusia.
