Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahasiswa di Malaysia turut menyambut Hari Mahasiswa Sedunia yang jatuh pada 17 November setiap tahun.

Sambutan ini diraikan demi memperingati insiden pencerobohan Nazi Jerman terhadap University of Prague pada 17 November 1939.

Ini merupakan simbol perjuangan mahasiswa dalam mempertahankan kebebasan bersuara berhadapan tindakan rejim yang zalim.

Dalam menyambut hari yang bersejarah ini, para mahasiswa di Malaysia terpanggil untuk menyuarakan pandangan terhadap insiden pencabulan hak kebebasan bersuara saudara seangkatan kami di bumi Mesir.

Insiden ini berlaku ekoran rampasan kuasa tentera daripada kerajaan pimpinan Dr Mohamed Morsi yang telah dipilih secara sah dan demokratik pada 3 Julai 2013 lalu.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Mesir pimpinan as-Sisi yang amat zalim terhadap para mahasiswa di Mesir.

Para mahasiswa di Mesir bukan sahaja dinafikan hak untuk berdemonstrasi bagi menyampaikan suara mereka, bahkan lebih daripada itu, rejim Mesir telah bertindak melampau batas sehingga telah mengorbankan nyawa ratusan mahasiswa di Mesir.

Menurut maklumat yang diperoleh melalui Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia Menyokong Legitimasi Mesir (Malaysians 4 Eygpt), berikut adalah statistik kes pencabulan hak-hak mahasiswa di universiti awam dan swasta seluruh Mesir:

1) Lebih daripada 234 kes pembunuhan luar rangka undang-undang di tangan rejim kudeta, termasuk 22 mahasiswa yang terbunuh dalam kawasan universiti mereka dan lapan mahasiswa yang diseksa dan dibunuh oleh pihak polis semasa dalam tahanan;

2) 566 mahasiswa dilaporkan hilang selepas ditahan pihak berkuasa tanpa apa-apa pengesahan undang-undang atau kenyataan rasmi atas penahanan mereka;

3) 4,573 mahasiswa ditangkap kerana latar belakang pandangan politik mereka;

4) 1,223 mahasiswa diberhentikan daripada universiti dan dihalang daripada menamatkan pengajian; dan

5) 160 mahasiswa diseksa di balai polis dan pusat tahanan.

Justeru, kami mewakili suara mahasiswa Malaysia menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengambil perhatian terhadap pencabulan yang sedang berlanjutan di bumi Mesir ini.

Kami turut berkempen untuk membesarkan suara bantahan ini ke peringkat antarabangsa dengan menyebarkan slogan #Solidariti_mahasiswa_Mesir_17_November dan #International_students_Day di media sosial selama tiga (3) hari berturut-turut bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia bersama para mahasiswa di Mesir.

Kami juga menyeru Kerajaan Malaysia untuk bersama-sama berani menyatakan pendirian terhadap tindakan zalim rejim Kudeta Mesir ini.

Maklumat lanjut tentang kempen ini boleh dirujuk di laman FB "Mesir Kini", laman FB "Malaysians 4 Egypt -M4E" laman FB "Kempen Solidariti Mahasiswa Sedunia Sempena Hari Mahasiswa Sedunia"


Kenyataan IKRAM Siswa disokong oleh sembilan gabungan pertubuhan - Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Lensa Kampus, Lensa Anak Muda Malaysia, Legasi Mahasiswa Progresif UPSI, Student Progressive Front (SPF) UiTM, Pemuda Sosialis, AMK (Biro Mahasiswa), We Unite For Islam (WUFI) UIAM, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), dan Sisters In Movement (SIM).

Lihat Komen
ADS