Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya ingin mempersoalkan persediaan kerajaan Negeri Perak tentang pembangunan Warisan Perdana atau Ipoh Sentral yang diumumkan oleh menteri besar.

Menurutnya, projek ini bakal menggantikan peranan Terminal Amanjaya dan bakal menjadi hab pengangkutan awam di Perak.

Rakyat negeri ini berhak untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang projek dengan anggaran RM2 bilion ini, bagi memastikan kepentingan orang ramai sentiasa terjamin.

Menteri besar perlu memberikan penjelasan tentang status Terminal Amanjaya, serta perancangan kerajaan bagi pengusaha bas yang telah berpindah ke sana mengikut arahan.

Selain itu, penjelasan juga perlu diberikan kepada pengusaha gerai, pemandu teksi dan penumpang dan pihak berkepentingan.

Menteri besar tidak memberikan sebarang penjelasan dan ulasan tentang persiapan kerajaan negeri berkenaan projek ini dalam pembentangan bajet 2016.

Hal ini amat membimbangkan. Kita harus memastikan bahawa projek ini tidak akan menjadi satu lagi projek gajah putih yang merugikan rakyat.

Saya juga berpendapat bahawa kerajaan negeri harus bertindak menyelesaikan beberapa isu berkenaan Terminal Amanjaya sementara pembangunan Ipoh Sentral dimulakan.

Kerajaan negeri perlu menyatakan pendirian yang jelas dan tegas mengenai pengusaha bas yang masih beroperasi dan mengambil penumpang di kawasan bandar raya Ipoh.

Ini juga perlu disusuli dengan tindakan penguatkuasaan untuk menjamin keseragaman polisi.

Saya ingin mengemukakan dua cadangan:

1. Kerajaan boleh memilih sama ada untuk memberikan subsidi kepada operator bas untuk perjalanan dari Terminal Amanjaya ke Medan Kid supaya meningkatkan kekerapan dan prestasi perkhidmatan tersebut

2. Kerajaan juga boleh mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh untuk menguruskan operasi perjalanan tersebut supaya menawarkan perkhidmatan bas shuttle bagi menyenangkan penumpang dan menjimatkan kos rakyat.

Cadangan ini telah saya lontarkan semasa mengambil bahagian dalam perbahasan usul bagi bajet 2016 negeri Perak.

Di samping itu, sebagai ahli Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Perak, saya juga kecewa kerana kerajaan memotong sebanyak 600 juta atau 14.1% daripada peruntukan kementerian pengangkutan.

Saya juga kecewa kerana Skim Perkhidmatan Bas Henti-henti (Stage Bus System Transformation - SBST) lewat dilaksanakan di Ipoh.

Saya juga berharap, peruntukan untuk Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Perak akan dapat diteruskan bagi tahun 2016.

Ini bagi membolehkan sistem pengangkutan awam di Ipoh dapat dirombak seperti yang telah dirancang dalam masa terdekat untuk kepentingan semua.


TAN KAR HING ahli jawatankuasa pengangkutan awam Perak dan ADUN Simpang Pulai.

Lihat Komen
ADS