Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Legasi Mukhriz buat Helang Merah terbang tinggi

Peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah yang ke-11 semalam nyata memberi kesan yang cukup besar terhadap rakyat dan orang muda amnya.

Saya secara peribadi bukanlah anak jati negeri Jelapang Padi tetapi mengikuti perjalanan bola sepak ketika dipimpin oleh Mukhriz sebaik sahaja beliau menjadi menteri besar (MB).

Namun dimaklumkan terdapat dalam perlembagaan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang mana kerusi presiden KFA secara automatik akan disandang oleh MB.

Ketika nama beliau diangkat sebagai bakal calon MB baharu, Mukhriz meletakkan aku janji untuk membawa dan menaikkan semula bola sepak Kedah dalam manifesto.

Berikut adalah petikannya: “Menebus kembali kegemilangan bola sepak Kedah melalui pembangunan semua peringkat seluruh negeri”.

Dan tempoh tiga tahun yang dijanjikan oleh beliau nyata membuahkan hasil.

Pada musim lalu Kedah meraih kejayaan selaku Juara Liga Perdana sekali gus melayakkan untuk kembali bersaing di Liga Super 2016 serta bergelar naib juara Piala Malaysia setelah ditewaskan Selangor di Stadium Shah Alam.

Hasilnya dapat dilihat dalam tempoh yang singkat.

Stadium Darul Aman kembali meriah dan dipenuhi semula oleh puluhan ribu penyokong setiap kali perlawanan dilangsungkan.

Ia mengingatkan kembali seperti zaman kegemilangan mereka ketika meraih gelaran double treble pada 2007 dan 2008.

Pada awal tempoh bergelar presiden, Mukhriz dan organisasi pimpinannya pernah dikecam peminat bola sepak negeri itu kerana bertindak menukar logo persatuan serta gelaran Sang Kenari kepada Helang Merah.

KFA juga semakin terbuka dengan memberi kepercayaan kepada penyokong untuk melakar reka bentuk jersi pasukan mereka.

Selain itu, KFA bawah naungan Mukhriz juga turut menjalinkan kerjasama dengan kelab Cardiff City yang dimiliki hartawan Malaysia.

Legasi sementara bersama KFA selama hampir tiga tahun yang dilakukan oleh anak mantan perdana menteri itu sudah pasti akan diingati oleh penyokong bola sepak Kedah seperti mereka ‘mengagungkan’ maestro KFA sebelum ini, allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Semoga kehadiran semula pasukan dari utara tanah air itu dalam kancah Liga Super akan kembali merancakkan liga bola sepak Malaysia yang akan bermula pada minggu depan.


AHAS HAIKAL adalah pembaca Malaysiakini .

Lihat Komen
ADS