Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah membantah tindakan kerajaan mengambil mahu 1.5 juta pekerja asing daripada negara Bangladesh.

Memetik laporan Utusan Malaysia bertarikh 10 Febuari 2016 yang bertajuk “Bangladesh lulus MOU hantar 1.5 juta pekerja ke Malaysia”, AMANAH Sabah melihat tindakan ini salah dalam mengatasi keperluan buruh di Malaysia.

Meneliti kesan kemasukan buruh asing ke Sabah dan Sarawak, AMANAH Sabah berpendapat lambakan pekerja asing di negeri ini boleh mengancam populasi pribumi asal di kedua-dua negeri.

Merujuk kepada unjuran populasi pada 2015, jumlah penduduk di Sabah adalah seramai 3,543.50 juta orang dengan 870,400 orang adalah bukan warganegara Malaysia.

Dan Sabah mencatat jumlah bukan warganegara tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri lain diikuti Selangor dan Johor.

Menilai situasi ini, kemasukan buruh asing ke Sabah khususnya boleh menjejaskan populasi penduduk pribumi negeri Sabah dengan penambahan jumlah ‘bukan warganegara’ di Sabah.

Hal ini sekali gus dibimbangi akan menghakis adat resam serta sosio budaya masyarakat Sabah yang diwarisi sejak dahulu lagi yang akhirnya membawa kepada hilangnya identiti sebenar masyarakat.

Selain itu, kemasukan buruh asing seramai 1.5 juta ini juga boleh meminggirkan peluang pekerjaan masyarakat di Sabah.

Sehingga ke hari ini, peratusan penganggur yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Manusia yang tertinggi di Malaysia adalah di Sabah (4.7 peratus), berbanding Sarawak (3.8 peratus) dan Semenanjung (2.1 peratus).

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat.

Lambakan pekerja asing kelak akan meminggirkan warga tempatan Sabah.

Bersandarkan faktor kemelesetan ekonomi, majikan pastinya mengambil kesempatan memilih buruh asing yang boleh dibayar dengan gaji yang rendah tanpa melihat daya saing, kelayakan bekerja dan pengalaman pekerjaan.

Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Kabinet Bangladesh Mohammad Shafiul Alam, seperti dilaporkan portal berita Bangladesh bdnews24.com :

“Kini, warga Bangladesh boleh bekerja dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Sebelum ini mereka hanya dibenarkan bekerja dalam sektor perladangan.”

Perkara ini amat dikesali kerana Sabah mampu menyediakan tenaga kerja mahir daripada kolej-kolej vokasional, institut-institut latihan, politeknik dan universiti di Sabah.

Lambakan pekerja asing di negeri Sabah juga mendorong kepada berlakunya kes pengundi hantu semasa pilihan raya.

Laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkenaan pendatang haram di Sabah, yang bermula Januari 2013, mendedahkan pengakuan rakyat Filipina dan warga asing lain bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.

Selain itu, terdapatnya kes tangkapan pengundi hantu semasa pilihan raya ke-13 lalu.

Justeru, tindakan kerajaan membawa masuk pekerja asing seramai 1.5 juta orang daripada Bangladesh memungkinkan kes pengundi hantu ini berulang pada pilihan raya umum ke-14 nanti, sekali gus menafikan hak warga tempatan memilih secara bersih dan adil.

Maka dengan ini, kami mengajak seluruh warga Malaysia, khususnya rakyat Sabah untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan mengambil 1.5 Juta buruh asing dari Bangladesh.

AMANAH Sabah juga menyatakan sokongan kepada badan bukan kerajaan, mahasiswa serta rakyat seluruhnya yang membantah tindakan kerajaan ini.


KHAIRUDDIN DAUD pengarah Komunikasi, AMANAH Sabah.

KDN: Tiada angka mutlak kemasukan pekerja Bangladesh

Lihat Komen
ADS