Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Laporan pekerja tertekan terhadap tugasan di tempat kerja kini meningkat. Kebanyakan pekerja tidak sabar untuk pulang apabila jam menunjukkan 4.25 petang.

Ramai tidak bersetuju melakukan perkara yang diarah, namun terpaksa bersetuju dengan berat hati dan dalam suasana rungutan.

Pemutar belit biasanya tidak akan memberitahu anda secara terang-terangan mahupun telus untuk melakukan perkara-perkara yang diinginkan.

Namun pemutar belit pandai bermain emosi kerana mereka tahu kelemahan anda dan menggunakannya untuk faedah mereka.

Mungkin sebenarnya mereka sendiri tidak sanggup dan mahu melakukan apa yang diarah oleh pihak pengurusan atasan.

Mereka juga orang-orang yang menolak dan mengkritik pembangunan dan inisiatif yang akan dibawa kepada umum, jadi mereka pastikan orang lain yang terpaksa melakukannya.

Dengan perlakuan mereka, kita tentunya boleh memanggil mereka sebagai ‘pembuli’ atau ‘pemutar belit’ atau kedua-duanya.

Pemutar belit biasanya akan mempunyai ciri-ciri mengenali kelemahan orang lain, mampu menyembunyikan motif dan niat.

Memiliki kemampuan dan keupayaan ‘bermain ayat’ dengan pengukuhan positif atau mampu berpura-pura untuk membuat orang lain bersimpati dengan mereka.

Kadang-kadang menunjukkan kemarahan atau ugutan untuk membuat orang lain takut untuk berhadapan dengan mereka.

Mereka juga biasanya menggunakan permainan dan lakonan emosi mereka untuk membangkitkan rasa bersalah atau mengawal set iklim emosi di sekeliling mereka.

(Jika mereka kecewa, semua orang di sekeliling mereka juga akan kecewa dan yang sedihnya jika mereka ‘bodoh’ mereka mahu orang lain menjadi ‘bangang’).

Jika perkara ini tidak dihentikan, pemutar belit boleh menyebabkan pekerja yang berbakat untuk berhenti atau bersara dari perkhidmatan, mewujudkan konflik dalam pasukan dan mengecewakan pasukan kerja.

Punca memanipulasi atau memutar belit adalah rumit dan kompleks, walaupun ia biasanya berpunca daripada gila kuasa, ingin mengawal pasukan kerja dan kedudukan, dan mahu disanjungi, atau kerana kebosanan, dan beberapa agenda tersembunyi lain.

Bagaimanapun, jika tidak dihentikan, mereka akan lebih bermaharajalela dan akan terus memberi tekanan dan kesan kepada orang lain.

Bagaimana untuk mengesan dan menghentikan putar belit emosi?

(1) Bersedia dengan taktik mereka.

Oleh kerana mereka biasanya mampu untuk menyembunyikan motif pada masa-masa tertentu, anda haruslah mampu mengesan percakapan mereka jika mereka mengajak melakukan kerja-kerja kotor.

Sesetengah orang boleh menggunakan daya tarikan untuk mendapatkan perkara yang dilakukan, sementara yang lain mungkin menggunakan kemarahan berupa ugutan atau tekanan lebihan.

Mana-mana kaedah yang mereka gunakan, berhati-hati dan bersedialah.

(2) Katakan tidak jika anda rasakan sesuatu tidak kena.

Jika anda menurut saja atau membenarkan ‘apa yang tidak betul’, anda menggalakkan mereka untuk meneruskan tingkah laku dan kebiadaban mereka.

Ayat seperti, "Mengapa anda tidak boleh menjadi seperti rakan anda yang mendapat semua A dalam peperiksaan itu?" atau "Anda seharusnya bertindak lebih seperti suaminya; dia lebih prihatin dan penyayang terhadap isterinya. "

Ayat-ayat ini digunakan untuk membuat pihak yang satu lagi merasa rendah diri dan rasa bersalah dan ia adalah satu bentuk manipulasi emosi.

Kekadang mereka akan mendiamkan diri atau tidak memberi tindak balas yang juga merupakan satu bentuk manipulasi emosi yang digunakan untuk membuat anda merasa bersalah dan tersinggung.

(3) Sentiasa dapatkan maklumat sahih.

Mereka sering boleh memberitahu anda apa yang orang lain katakan, tetapi pastikan anda sentiasa mendapatkannya dari sumber yang sahih.

Ini boleh mengelakkan mereka daripada menggunakan maklumat terhadap anda atau memutarbelitkan untuk memenuhi keperluan peribadi mereka sendiri.

Berhati-hati apabila nama orang lain atau maklumat yang kabur digunakan sebagai sandaran untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.

Sebagai contoh, "Mamat atau Minah itu berkata ini mengenai engkau juga," atau "Semua orang berfikir ini daripada anda, bukan hanya saya."

(4) Soal diri sendiri.

Pemutar belit pandai memakai topeng yang berbeza dengan orang yang berbeza bergantung kepada keadaan.

Dengan seorang yang lain, mereka mungkin berwatak manis, tetapi dengan yang lain mereka mungkin berwatak biadab.

Tanya diri anda beberapa soalan-soalan seperti "Adakah saya betul-betul dilayan dengan penghormatan yang tulen?"; "Adakah saya sentiasa rasa takut untuk menyatakan pandangan saya sendiri?"; "Adakah hubungan ini hanya berat sebelah?" atau "Adakah jangkaan dan permintaan saya munasabah?"

(5) Ketahui hak anda.

Ingatlah bahawa masalah ini bukanlah dari anda. Anda mempunyai hak untuk dilayan dengan hormat. Anda mempunyai hak untuk meluahkan perasaan, pendapat dan kemahuan diri.

Anda mempunyai hak untuk menetapkan keutamaan anda sendiri. Anda mempunyai hak untuk mengatakan "tidak" tanpa rasa bersalah.

Anda mempunyai hak untuk mendapatkan apa yang anda bayar. Anda mempunyai hak untuk mempunyai pendapat yang berbeza daripada orang lain.

Anda mempunyai hak untuk menjaga dan melindungi diri anda daripada di ancam secara fizikal, mental atau emosi. Anda mempunyai hak untuk mewujudkan kehidupan yang bahagia dan sihat.

Anda mempunyai kuasa terhadap kehidupan anda sendiri.

Jangan biarkan orang lain secara fizikal, mental, atau emosi memanipulasi pemikiran anda.

Apabila anda merasa bahawa anda dilayan dengan cara yang tidak rasional atau dimanipulasi untuk melakukan kerja-kerja orang lain, anda boleh secara sopan memaklumkan kepada mereka "Harap maaf.

Tidak, saya tidak boleh membantu anda kerana saya mempunyai komitmen atau tugasan lain."

Tetapkan hak sempadan anda dengan mereka. Jangan biarkan mereka membuat anda berasa gentar atau takut dengan mereka.

Jangan benarkan mereka ‘mengusik’ atau menggunakan kekerasan, kemarahan atau berlakon sayu untuk mendapat apa yang mereka mahu.

Tingkah laku manipulatif oleh si pemutar belit boleh mencipta kesan yang negatif jika tidak dihentikan. Oleh itu, adalah penting untuk kita tahu, mengesan dan menamatkannya.

Matlamatnya sebenarnya bukanlah untuk mengubah seseorang ‘pemutar belit’ namun yang lebih utama adalah untuk mengetahui dan memahami hak-hak anda dan untuk menentang dan mempertahankan diri anda dari ‘di putar belit’ oleh mereka.

Jangan biarkan dan benarkan anda diputar belit, mahupun dibuli.


AZIZI AHMAD seorang pendidik.

Lihat Komen
ADS